- nabalunews
Belanjawan 2025: KDN tumpu aspek kebajikan, pemerkasaan aset
3 Ogos 2024
PUTRAJAYA : Aspek kebajikan dan pemerkasaan aset pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjadi keutamaan menerusi Belanjawan 2025.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tumpuan itu seiring dengan tanggungjawab kementerian yang menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
"Kebajikan adalah aspek yang saya tekankan pada bajet tahun lepas (Belanjawan 2024) dan saya akan teruskan lagi (tahun 2025).
"Tahun lepas kami berjaya memulihkan hampir 151 pos hadapan PGA (Pasukan Gerakan Am), sejumlah kuarters dengan memanfaatkan peruntukan sekitar RM300 juta, kemudian menyelesaikan isu perumahan ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah).
"Saya akan kekalkan momentum, memberi dan mengangkat keutamaan kepada MOF (Kementerian Kewangan) supaya ia dapat dikekalkan kerana aspek ini penting, mampu meningkatkan moral dan motivasi anggota-anggota keselamatan di bawah KDN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Sesi Libat Urus Belanjawan 2025 bersama pemegang taruh KDN di sini, semalam.
Dalam pada itu Saifuddin Nasution memaklumkan, KDN juga akan meningkatkan keupayaan aset Agensi Kawalan Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA).
Sebagai agensi baharu, beliau menjelaskan, pihaknya perlu merangka belanjawan yang sesuai dengan operasinya dalam fasa pertama yang digerakkan sejak Mei lalu.
"Kami akan memberi tumpuan khusus kepada menguatkan MCBA supaya tahun pertama menyaksikan sekurang-kurangnya selesai dari segi perjawatan dan keupayaan aset.
"Ini kerana ada beberapa pintu masuk yang menjadi projek perintis selain daripada Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.
Hari ini, Saifuddin dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin akan mengadakan lawatan kerja ke Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand.
Tujuan utama lawatan itu adalah untuk menilai kemajuan projek naik taraf jambatan menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok, iaitu satu daripada inisiatif utama kesalinghubungan sempadan kedua-dua negara.
Thailand dijangka memulakan projek pembinaan jambatan kedua dikenali sebagai Jambatan Kembar di Rantau Panjang-Sungai Golok itu pada April tahun depan.
Jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok akan mempunyai enam lorong bagi memudahkan pergerakan keluar masuk kenderaan antara Malaysia dan Thailand.
Selain itu, Anwar dan Srettha juga dijangka mengadakan perbincangan mengenai isu dua hala, termasuk isu persempadanan Malaysia-Thailand, inisiatif kesalinghubungan untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi di kawasan sempadan kedua-dua negara dan Proses Dialog Damai di Selatan Thailand.
Lawatan Anwar dan Srettha hari ini adalah susulan pertemuan bersama di Sadao, Thailand pada November tahun lalu yang mempamerkan komitmen kedua-dua negara untuk memupuk hubungan sesama rakyat dan mempertingkatkan aktiviti ekonomi di sepanjang kawasan utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.
Comments