top of page

Belanjawan 2025: Kesalinghubungan internet di sekolah, kampus, pedalaman jadi keutamaan – Fahmi

  • nabalunews
  • Oct 6, 2024
  • 2 min read

6 Oktober 2024


GEORGE TOWN: Kementerian Komunikasi akan terus memberikan tumpuan utama kepada usaha memperkukuhkan prasarana kesalinghubungan, terutamanya berkaitan isu Internet, dalam Belanjawan 2025 yang dijadualkan dibentangkan pada 18 Oktober ini.


Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa antara fokus utama adalah menangani masalah kesalinghubungan Internet di kawasan luar bandar, pedalaman, dan pulau-pulau terpencil.


Langkah ini bertujuan memastikan akses Internet berkelajuan tinggi dapat diperluaskan ke seluruh negara, termasuk institusi pendidikan. Inisiatif ini akan direalisasikan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi ini demi memacu kemajuan digital negara.


Tambah beliau, langkah-langkah proaktif ini bukan sahaja penting untuk menjamin kesamarataan akses digital dalam kalangan rakyat, malah akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan, khususnya bagi komuniti yang sebelum ini kurang mendapat perhatian dari segi infrastruktur telekomunikasi.


“Kita juga akan berusaha untuk membantu melengkapkan sejumlah sekolah dengan wi-fi kerana sewaktu dirangka program Point of Presence (PoP) apabila kita menyediakan Internet berkelajuan tinggi ke sekolah-sekolah di kawasan pedalaman.


“Program itu sebelum saya (menjadi Menteri Komunikasi), Internet itu hanya sampai ke pagar sekolah bukan sampai masuk ke sekolah, “ katanya seperti dilaporkan Bernama.


Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Sembang Santai bersama Komuniti MADANI Pulau Pinang di Kampung Batu Uban, Gelugor malam tadi.


Fahmi berkata ia juga berikutan kementeriannya menerima teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2024 mengenai pelaksanaan projek PoP, justeru terdapat keperluan untuk membaiki masalah terbabit dengan membantu kira-kira 4,000 sekolah yang terlibat untuk melengkapkan kemudahan Internet.


Projek PoP bertujuan merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar dengan menjadikan sekolah sebagai hab infrastruktur jalur lebar gentian optik (fiber)


Sekali gus membolehkan sekolah, premis kerajaan dan kawasan perumahan di sekelilingnya mendapat akses jalur lebar dengan kelajuan yang tinggi.


Selain itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi juga akan memberi tumpuan kepada peningkatan akses Internet di kampus-kampus universiti awam seperti yang disarankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Saya telah minta pihak MCMC segera berbincang dengan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk kita kenal pasti kampus mana ada isu Internet, sama ada Internet di luar atau Internet wi-fi contohnya yang perlu kita bantu.


“Sebab setiap kampus ada masalah atau pun isu-isu yang sedikit berbeza. Jadi, isu Internet serta prasarana itu akan menjadi keutamaan kementerian,” katanya.


Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober ini.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page