top of page
nabalunews

Belanjawan 2025 pacu pertumbuhan ekonomi, beri keadilan rakyat terbanyak - PM Anwar




17 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara dan memastikan keadilan dinikmati oleh segenap lapisan rakyat.


Dalam hantaran di Facebook hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkongsi pengamatannya ketika melakukan lawatan ke pejabat Kementerian Kewangan pagi tadi.


Beliau memuji tahap kesiapsiagaan pasukan Belanjawan serta kakitangan kementerian, yang disifatkannya telah melaksanakan persiapan rapi bagi memastikan pembentangan belanjawan ini berjalan lancar dan berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan.


Beliau turut menegaskan bahawa Belanjawan 2025 akan memberi tumpuan kepada inisiatif-inisiatif yang mampu memperkukuh daya tahan ekonomi negara, memperluaskan peluang pekerjaan, dan menangani cabaran kos sara hidup, selari dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan kesejahteraan yang menyeluruh bagi rakyat Malaysia.


"Kendatipun sibuk merangka Belanjawan yang terangkum dan penuh teliti ini, saya gembira melihat keterujaan pasukan Belanjawan dan turut bergambar bersama mereka.


"Usai mengambil gambar-gambar kenangan, saya menandatangani dokumen-dokumen berkaitan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan esok di Dewan Rakyat," katanya seperti dilaporkan Bernama.


Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada warga kerajaan serta semua pihak terlibat yang telah memerah keringat dan memberi cadangan bernas untuk menjayakan Belanjawan 2025.


Perdana Menteri dijadual akan membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 4 petang esok.


Belanjawan 2025 adalah belanjawan ketiga dibentangkan di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Comments


bottom of page