- Wartawan Nabalu News
Belanjawan Negeri 2024: Penjawat awam terima bantuan khas RM2,000
24 November 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri, termasuk bertaraf sementara, kontrak dan pekerja sambilan harian.
Beliau berkata bantuan itu selaras dengan langkah kerajaan persekutuan memberikan jumlah yang sama kepada penjawat awam persekutuan menerusi Belanjawan 2024.
“Bayaran Khas Kewangan ini akan dibayar secara dua kali iaitu RM1,000 dibayar pada bulan Januari 2024 dan RM1,000 lagi dibayar menjelang Hari Raya Aidilfitri 2024.
“Saya berharap insentif ini akan memberi suntikan semangat kepada para penjawat awam negeri untuk terus bersemangat dan berusaha dengan lebih gigih lagi demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Masidi berkata, keputusan kerajaan negeri itu sebagai penghargaan atas komitmen dan usaha penjawat awam dalam menggalas tugas yang diamanahkan demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan amat menghargai komitmen dan usaha para penjawat awam dalam menggalas tugas yang telah diamanahkan demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru itu, Kerajaan Negeri ingin membawa khabar gembira kepada semua Penjawat Awam Negeri Sabah khususnya kepada Kumpulan Perkhidmatan Sokongan yang menjadi penggerak utama jentera pentadbiran Kerajaan,” katanya.
留言