Belanjawan Sabah 2025, komitmen kerajaan negeri untuk kebajikan rakyat, pacu pembangunan luar bandar, perkasa peniaga kecil
15 November 2024
KOTA KINABALU: Belanjawan Sabah 2025 menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuhkan inisiatif kebajikan untuk rakyat, memacu pembangunan luar bandar serta memperkasa peniaga kecil.
Menerusi pelaksanaan program yang terancang, rakyat Sabah dijangka dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dan peluang ekonomi yang lebih luas.
Kerajaan negeri Sabah telah memperkenalkan Belanjawan Sabah 2025 dengan tumpuan khusus kepada kebajikan rakyat, pembangunan luar bandar, dan pemerkasaan ekonomi.
Berikut adalah beberapa inisiatif utama yang akan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN), petang tadi berkata sebagai usaha untuk membantu golongan B40, kerajaan memperkenalkan Program Sentuhan Kasih Rakyat yang akan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM300 sebulan selama setahun. Inisiatif ini bertujuan meringankan beban hidup dan memastikan rakyat mempunyai sokongan asas untuk memenuhi keperluan harian mereka.
Perumahan rakyat menjadi keutamaan dengan peruntukan RM250 juta bagi membina 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di seluruh Sabah. Projek ini dirancang untuk memastikan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, mempunyai akses kepada kediaman yang selesa dan mampu milik.
Untuk menyokong pengusaha kecil, kerajaan menyediakan bantuan one-off sebanyak RM5,000 kepada peniaga gerai kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan sah. Bantuan ini bertujuan mengurangkan beban kos operasi, meningkatkan modal pusingan, dan menggalakkan perkembangan perniagaan mikro.
Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM214 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan kecil di seluruh negeri. Dana ini akan disalurkan untuk memperbaiki kemudahan asas, menaik taraf infrastruktur, dan memenuhi keperluan komuniti tempatan.
Sebanyak RM19.5 juta diperuntukkan untuk beberapa program strategik termasuk Program Pembangunan Kecil,
Program Penyediaan Kemudahan dan Pembaikan Kawasan (MESEJ),
Program Ameniti dan Ekonomi Desa,
Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar dengan menyediakan bekalan elektrik dan air bersih serta membuka peluang ekonomi baharu melalui aktiviti pertanian dan perusahaan kecil.
Kommentarer