top of page

Belasah Dan Ugut Bakar Kedai

  • nabalunews
  • Jul 13, 2025
  • 1 min read

13 Julai 2025


TAWAU: Seorang wanita ditahan selepas dilaporkan membelasah selain mengugut pemilik kedai kerana tidak berpuas hati dengan keputusan enggan menyambung kontrak sewa.


Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, wanita terbabit bersama beberapa rakannya dikatakan menyerang pemilik kedai di Taman Semarak, di sini, semalam.


Akibat daripada insiden berkenaan, wanita berusia 36 tahun itu ditahan bersama rakannya termasuk seorang lelaki berusia 27 tahun.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa didatangi suspek bersama empat lelaki lain.


Katanya, suspek kemudiannya bertindak memukul dan menendang mangsa, selain mengeluarkan ugutan akan membakar kedai.


“Suspek turut menyatakan tidak akan melepaskan mangsa sekiranya terserempak di luar.


“Kejadian berpunca daripada perselisihan berhubung isu penyambungan kontrak sewa yang bakal tamat pada bulan Ogos ini,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, susulan laporan polis yang dibuat mangsa, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan dua individu termasuk rakan suspek kira-kira jam 4.30 petang hari sama.


“Suspek seorang wanita berusia 36 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala suspek lelaki mempunyai empat rekod lampau melibatkan kes dadah serta khianat.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya.


Sehubungan itu, Jasmin menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan sebarang pertikaian dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page