- nabalunews
Belum ada aduan penjualan barang tiruan di Tawau
20 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau belum menerima sebarang aduan penjualan barang disyaki tiruan, termasuklah minyak pelincir di daerah ini, setakat ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Tawau, Sam Aminudin bagaimanapun berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan risikan di premis-premis perniagaan dan stesen minyak.
Beliau juga meminta kerjasama semua pihak, khususnya peniaga dan pengguna agar memberikan maklumat kepada pihaknya jika mengesyaki sesuatu produk itu adalah palsu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Tegasnya, pihaknya tidak bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat kegiatan atau aktiviti penjualan produk tiruan sehingga memudaratkan pengguna.
Menurutnya, tindakan boleh diambil mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 dan Perintah Perihal Dagangan terhadap pihak tidak bertanggungjawab ini.
“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 25 Akta Perlindungan Pengguna 1999, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 untuk pertubuhan dan RM100,000 kepada individu serta penjara tiga tahun.
“Manakala, bagi kes pemalsuan produk minyak pelincir pula, KPDN dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) sudah mencadangkan jalan penyelesaian dengan pelaksanaan ‘Genuine Product Certification Scheme’ iaitu pensijilan dan rujukan standard,”katanya.
Sam berkata demikian ketika ditemui pada majlis ‘kenali yang palsu, memastikan ketulenan, melindungi kualiti’ anjuran Shell Malaysia dengan kerjasama Teck Guan Trading Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Shell Malaysia, Shairan Huzaini Husain berkata, pihaknya menjalankan ujian makmal ke atas sampel produk yang dijual menerusi platform e-dagang dan mendapati 20 daripada 105 botol yang dijual adalah tiruan.
Sehubungan itu beliau memuji pihak berkuasa atas usaha mereka memerangi aktiviti pembuatan dan pengedaran minyak pelincir tiruan yang menjejaskan jenama-jenama utama, termasuk Shell.
Comments