- nabalunews
Belum ada keputusan bawa lebih ramai rakyat Palestin cedera - Mohamed Khaled
19 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat keputusan untuk membawa lebih ramai rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses membawa masuk rakyat Palestin ke Malaysia untuk menerima rawatan di dalam negara bukan tugas mudah.
"Perkara itu (bawa masuk lebih ramai rakyat Palestin) akan ditentukan oleh kerajaan tetapi buat masa ini tiada kerana tidak mudah untuk bawa masuk.
"Sebabnya ia bukan mudah untuk mendapatkan mereka," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Hadir sama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.
Mengenai keadaan 41 rakyat Palestin yang sedang dirawat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Mohamed Khaled berkata, masing-masing berada dalam keadaan baik.
"Kita sedang berikan rawatan yang rapi dan sewajarnya dan ia bukanlah boleh dilakukan pada satu hari sahaja, sebaliknya bergantung kepada jenis-jenis kecederaan mereka kerana ada yang memerlukan rawatan yang panjang," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Terdahulu Harian Metro melaporkan 41 rakyat Palestin yang tercedera akibat serangan Israel dibawa masuk untuk menerima rawatan di Malaysia dengan diiringi 86 waris mereka.
Ketibaan mereka sekitar jam 2 hingga 2.30 petang 16 Ogos dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), turut disambut Mohamed Khaled dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Comentarios