top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bengkel bantu ibubapa, penjaga kanak-kanak berkeperluan khas dilancarkan


5 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebuah bengkel telah dilancarkan bagi membantu ibubapa dan penjaga mempelajari panduan untuk menangani masalah gangguan emosi dan tingkahlaku kanak-kanak berkeperluan khas.


Jerayawara Bengkel Keibubapaan untuk Pengendalian Kanak-Kanak Berkeperluan Khas telah diadakan di Ballroom Shangri-La Tanjung Aru Kota Kinabalu pada Sabtu dan dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.


Menurut James, bengkel tersebut merupakan salah satu program di bawah bantuan Geran Program Sosial Kanak-Kanak Kementerian beliau melalui Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah.


Tujuan utama Bengkel Keibubapaan ini adalah untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak berkeperluan khas di seluruh negeri Sabah.


Kanak-kanak istimewa yang berkeperluan khas termasuk mereka yang mempunyai gangguan emosi dan tingkah laku, serta kekurangan upaya dari segi penglihatan, pendengaran, pembelajaran, tingkah laku, terencat akal atau kecacatan fizikal. Kebanyakan daripada kanak-kanak ini didapati menghidap penyakit autisme, ADHD, disleksia, dan juga sindrom down.


“Kebanyakan daripada kanak-kanak tersebut didapati menghidap penyakit autisme, ADHD, disleksia, dan juga sindrom down.


“Sesetengah daripada kanak-kanak istimewa ini mempunyai gangguan emosi dan tingkah laku yang lebih sukar untuk dikawal, serta mungkin sukar diterima dan difahami oleh masyarakat sekeliling.


“Menjadi ibu bapa yang terpilih untuk membesarkan dan mendidik kanak-kanak berkeperluan khas semestinya bukanlah mudah. Ia tugasan yang penuh dengan suka dan duka, pelbagai cabaran dan rintangan,” kata beliau.


Acara tersebut dianjurkan oleh beberapa pertubuhan sukarela kebajikan, antaranya adalah Badan Kebajikan Psikiatri Sabah (BKPS), Persatuan C.H.I.L.D. Sabah dan Persatuan Kesihatan Jiwa Sabah.


Jelas James, menjadi ibu bapa yang terpilih untuk membesarkan dan mendidik kanak-kanak berkeperluan khas bukanlah mudah.


"Oleh itu, Bengkel Keibubapaan ini dapat membantu ibubapa dan penjaga mempelajari panduan yang dapat menangani masalah gangguan emosi dan tingkahlaku kanak-kanak berkeperluan khas.


"Kerajaan Malaysia memperluaskan perkhidmatan di klinik kesihatan dan memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan agensi swasta dan NGO dari segi pendidikan, kesihatan, pemulihan dan perlindungan bagi kanak-kanak berkeperluan khas," katanya.


Tambah James, keprihatinan bagi hal ehwal kanak-kanak berkeperluan khas merupakan salah satu isu utama yang dititikberatkan oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan Kementerian Kesihatan Malaysia.


"Data Pendidikan Khas 2020 menunjukkan peningkatan bilangan murid berkeperluan khas mengikut program dari 2016 hingga 2020," ujar beliau.


Beliau berharap agar program ini dapat membantu ibu bapa dan penjaga dalam menjayakan penjagaan dan mendidik kanak-kanak berkeperluan khas di seluruh negeri Sabah.

bottom of page