- Wartawan Nabalu News
Bengkel perlu pamer senarai nama makenaik, sijil kemahiran dan kategori alat ganti

17 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Pengguna kenderaan kini boleh memilih bengkel yang mempunyai mekanik berkelayakan dengan lebih mudah berikutan pindaan peraturan yang mengkehendaki pengusaha bengkel mempamerkan senarai nama mekanik dan kelayakan sijil kemahiran di kawasan yang mudah dilihat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pindaan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa di seluruh negara pada 1 Julai lepas juga bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bengkel.
Jelas beliau, langkah mempamer senarai nama mekanik dan sijil kemahiran itu juga akan menggalakkan pengusaha bengkel mempersijilkan mekanik yang sedang bertugas atau menggajikan mekanik yang mempunyai sijil kemahiran
"Selain itu, kriteria lain ialah pengusaha perlu menyatakan dengan jelas mengenai kategori alat ganti yang digunakan sama ada baharu, terpakai atau yang telah dibaik pulih untuk diguna semula. Ini bagi memastikan pengguna mengetahui jenis kategori alat ganti yang digunakan untuk pembaikan atau pengubahsuaian kenderaan mereka," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pindaan peraturan berkenaan telah diwartakan pada 22 Jun 2022 selepas beberapa siri libat urus dengan pihak industri dan sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Julai tahun sama.
Bagaimanapun, beliau berkata penguatkuasaannya ditangguhkan selama setahun bagi membolehkan pihak industri membuat persiapan sebelum penguatkuasaan ke atas peraturan itu dibuat sepenuhnya bermula pada 1 Julai 2023.
"Tempoh penangguhan bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah tamat pada 30 Jun 2023 dan peraturan ini telah berkuat kuasa sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN di seluruh negara," katanya.