• nabalunews

BENTUK MUKA BUMI, PERAIRAN LUAS, CABARAN IMIGRESEN SABAH KAWAL SEMPADAN


6 DIS 2020


PUTRAJAYA: Bentuk muka bumi Sabah dan kawasan perairan yang luas antara cabaran utama bagi Jabatan Imigresen Sabah, dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin di negeri itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Selain itu kata beliau, penempatan migran yang dibina di kawasan yang berair dan sempit, menyukarkan pergerakan anggota penguatkuasa imigresen untuk menangkap migran yang berlindung di situ.

“Satu lagi cabaran imigresen Sabah adalah mendapatkan kerjasama orang awam dalam membanteras kemasukan pendatang tanpa izin, selain kesedaran orang awam akan kesalahan melindungi golongan itu juga rendah.

“Kebanyakan majikan juga menggaji mereka ini, disebabkan kos upah gaji lebih murah berbanding pekerja tempatan terutama di sektor perladangan, pertanian, pembinaan, dan juga perkhidmatan,” katanya kepada Bernama.

Khairul Dzaimee berkata dalam tempoh normal baharu COVID-19 ini, setiap operasi yang dilaksanakan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan, bagi mengelakkan pegawai penguatkuasa serta tahanan migran dijangkiti wabak itu.

“Setiap mereka yang ditahan juga perlu diasingkan ke pusat kuarantin transit, sebelum dihantar dan dimasukan ke dalam Pusat Tahanan Sementara.

“Oleh yang demikian, imigresen Sabah bersama agensi penguatkuasa yang lain memohon kerjasama rakyat Malaysia khususnya di Sabah, untuk melapor dan tidak melindungi pendatang tanpa izin bagi membanteras kedatangan pihak terbabit ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata tanggungjawab ini bukan hanya digalas oleh pasukan keselamatan sahaja, namun ia juga adalah tanggungjawab masyarakat untuk sama-sama menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Imigresen menggesa orang ramai supaya membantu pasukan keselamatan dan penguatkuasa dengan memberikan maklumat sebarang pencerobohan sempadan, dan melaporkan sebarang kegiatan membawa masuk dan pencerobohan pendatang tanpa izin melalui talian Hotline National Task Force di talian 011-62511223,” katanya.


Sementara itu, diminta mengulas mengenai penugasan pegawai imigresen dalam membantu memutuskan rantaian COVID-19, Khairul Dzaimee berkata pegawai-pegawainya menjalankan tugas di Pusat Kuaratin Transit migran di Dewan Sri Tawau dan Dewan Sri Balung, Sabah.

“Seramai 12 pegawai ditugaskan 24 jam setiap hari mengikut syif di pusat kuarantin berkenaan, manakala seramai 32 pegawai imigresen turut ditempatkan di Hospital Queen Elizabeth I dan II, Kota Kinabalu. - Bernama