Ilona Andrew
Beri bakul makanan kepada yang memerlukan, bukan hanya penyokong - Wanita DAP

1 Ogos 2021
Oleh Ilona Andrew
KOTA KINABALU: Ketua Wanita DAP Sabah Clare Taunek Simbat menggesa parti-parti politik agar tidak berat sebelah semasa mengagihkan bakul makanan.
Menerusi satu kenyataan, beliau menegaskan bahawa bantuan makanan harus diberikan kepada yang memerlukan dan bukan setakat penyokong parti sahaja.
Katanya, terdapat beberapa rungutan yang dikongsikan oleh penduduk Sabah di mana agihan bakul makanan oleh wakil parti politik dilihat agak berat sebelah sehingga mereka yang lebih memerlukan tercicir daripada program bantuan itu.
Beliau menganggap bahawa perkara tersebut bukan sahaja bersifat politik, malah telah menafikan hak rakyat memandangkan bantuan sepatutnya diberikan secara menyeluruh dengan mengutamakan golongan yang benar-benar terkesan oleh pandemik Covid-19.

"Dalam keadaan pandemik ini, sokongan di antara satu sama lain amat penting. Jika wakil parti politik yang seharusnya berkhidmat untuk masyarakat lebih memilih untuk mempertahankan kedudukan politik, ia sebenarnya telah mengkhianati harapan rakyat.
"Biarpun bukan semua adalah penyokong, namun bila sudah mendapat mandat sebagai wakil rakyat, seharusnya semua rakyat mendapat layanan yang sama" ujarnya.
Sebanyak 1,050 bakul makanan telah diagihkan kepada 37 buah kampung di sekitar Sook dan Tulid sepanjang program bakul makanan melalui Ahli Dewan Negara Senator Adrian Lasimbang di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Negara.
Program itu telah mencapai kawasan agihannya yang terakhir semalam di Kawasan Hutan Simpan Borneon, Sook di mana sebanyak 300 bakul makanan turut diserahkan kepada Syarikat Borneon Guanken yang merupakan pengurus kepada ladang getah didalam hutan simpan tersebut.
Syarikat itu menempatkan lebih dari 300 orang penoreh beserta keluarga yang berasal dari daerah Keningau dan Pensiangan.
Program ini adalah kerjasama bersama Persatuan Impian Masyarakat Sabah dan diselaraskan oleh Pusat Khidmat DAP Pensiangan yang diketuai oleh Clare yang juga Penyelaras DAP Sook.