• Wartawan Nabalu News

Beri kuasa kepada Sabah, Sarawak dalam pendidikan, kesihatan awam dan perubatan: Pakatan Harapan



30 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau mencadangkan supaya Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2021 melibatkan Artikel 1(2) dan Artikel 160 (2) ditambah baik.


Beliau turut menyokong penuh RUU itu yang dijangka dibentangkan bagi bacaan Kedua pada 14 Disember ini.


“Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2021 yang melibatkan Artikel 1(2) dan Artikel 160 (2), iaitu masing-masing takrifan Persekutuan Malaysia dan juga “Persekutuan” dijangka dibentangkan bagi bacaan Kedua pada 14 Dis ini.


“Tuaran menyokong penuh RUU ini. Cumanya saya bersama-sama YB (Yang Berhormat) Stampin (Chong Chien Jen) dan YB Kota Kinabalu (Chan Foong Hin) mencadangkan supaya Pindaan Perlembagaan Persekutuan tersebut perlu di tambah iaitu, pindaan terhadap Jadual 9, Senarai 11A Perlembagaan Persekutuan iaitu “Tambahan Terhadap Senarai Bersama Untuk SABAH dan Sarawak” yang melibatkan: Kesihatan Awam, Perubatan dan Pendidikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Madius berkata, dalam Kerajaan Warisan Plus di Sabah yang lalu dua kementerian telah ditubuhkan iaitu Kementerian Pendidikan dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan yang berkhidmat secara pentadbiran tanpa kuasa perundangan.


“Cadangan yang kami buat ialah untuk memberikan kuasa kepada Sabah dan Sarawak dalam hal Pendidikan, Kesihatan Awam dan Perubatan secara perundangan.


“Dengan langkah ini Sabah dan Sarawak akan mempunyai kuasa untuk turut serta membantu Kerajaan Persekutuan dalam hal ehwal Kesihatan Awam, Perubatan dan Pendidikan,” katanya.