• nabalunews

BERI MASA UNTUK LIHAT HASIL STRATEGI KKM SEBELUM LAKSANA PKPB DI SELURUH SABAH: MASIDI


Masidi Manjun

10 Nov 2020


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mahukan masa yang munasabah untuk melihat hasil strategi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengekang COVID-19 dan hanya memilih Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh negeri itu jika kes meningkat dengan ketara.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata PKPD di seluruh negeri itu adalah salah satu daripada beberapa pilihan untuk membendung wabak itu dan kerajaan negeri hanya akan bersetuju dengan tindakan itu sekiranya ia benar-benar diperlukan.

“Pada satu ketika, jumlah kes sangat tinggi dan kami menganggap PKPB adalah pilihan yang lebih baik tetapi pada masa ini jumlah kes semakin menurun.

“Kami percaya strategi KKM kini berjalan lancar dan memerlukan masa yang munasabah untuk melihat keberkesanannya dan dari situ kita akan mengambil langkah susulan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan sejumlah 972 kes positif COVID-19 dikesan hari ini dengan Sabah terus mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 370 kes.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan mesyuarat teknikal bagi membincangkan sama ada terdapat keperluan untuk melaksanakan PKPB di seluruh negeri Sabah.

Sementara itu, Masidi berkata tiga lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka di Sabah hari ini iaitu masing-masing di Kota Kinabalu, Tuaran dan Tenom.

Beliau berkata PKRC Kota Kinabalu adalah di Kompleks Penjara Kepayan yang dikhaskan untuk banduan dan mampu menampung 120 katil serta , PKRC Tuaran dibuka di Dewan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang boleh memuatkan 60 katil.

PKRC Tenom diletakkan di Dewan Masyarakat Tenom yang boleh memuatkan 48 katil, katanya.

Menurutnya, secara keseluruhannya, Sabah mempunyai 34 buah PKRC iaitu 20 buah di bahagian Pantai Barat dan 14 lagi di Pantai Timur Sabah. - Bernama