- nabalunews
BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT TANPA MENGIRA FAHAMAN POLITIK - TIMB. KETUA MENTERI SABAH

13 DIS 2020
KOTA KINABALU: Semua pemimpin terutama di peringkat akar umbi di Sabah diingatkan supaya memberi khidmat tanpa mengira fahaman politik bagi memastikan kebajikan rakyat negeri itu sentiasa dijaga.
Ketika memberi ingatan itu, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata hanya menerusi sikap sedemikian setiap kemudahan yang disalurkan kerajaan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa ada yang terpinggir.
Katanya bantuan kerajaan kepada rakyat seperti eKasih perlu disalurkan secara adil.
“Sikap pilih kasih perlu diketepikan agar tiada lagi persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan semasa yang memerintah.
"Namun demikian, pemimpin akar umbi perlu bijak menilai status penerima. Biar mereka yang benar-benar layak disenaraikan sebagai bakal penerima, bukannya seorang mampu tetapi ada kaitan dengan pemimpin kawasan nama dimasukkan sebagai penerima, itu tidak wajar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah turut menyarankan pemimpin peringkat akar umbi mewujudkan jawatankuasa bagi menyelaraskan usaha membantu rakyat di sesuatu kawasan.
"Sebelum ini Gabungan Jawatankuasa Kepimpinan di mukim Kundasang pernah dilaksanakan yang membuahkan hasil positif. Ini bertujuan membincangkan perkara atau isu-isu yang dihadapi bersama seperti masalah ketiadaan tapak bagi pejabat polis, bomba, Fama dan lain-lain,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang itu. - Bernama