Berpantang maut... dua jam pasang Jalur Gemilang Gergasi pada ketinggian 400 meter
- nabalunews
- Sep 1, 2024
- 3 min read

Ogos 31, 2024
KUALA LUMPUR: Sekumpulan jurutera menyahut cabaran memasang Jalur Gemilang Gergasi di puncak Menara Kuala Lumpur, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke 67.
Berada di puncak Menara Kuala Lumpur pada ketinggian hampir 400 meter bagi memacak Jalur Gemilang Gergasi, dianggap tugas mencabar, mendebarkan kerana sekiranya tersilap langkah mungkin menempah maut.
Namun, tugas itu mampu dilaksanakan dengan jayanya oleh sekumpulan jurutera yang berganding bahu memasangnya.
Kini Jalur Gemilang Gergasi megah berkibar di ruang angkasa dan boleh dilihat sejauh 10 kilometer.
Jalur Gemilang Gergasi itu berukuran 17.37 meter lebar dan 34.74 meter panjang serta seberat 70 kilogram berkibar di angkasa menyemarakkan semangat apabila berkibar sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke 67.
Menara Kuala Lumpur mengambil inisiatif sekali lagi mengibarkan Jalur Gemilang Gergasi di puncak menara itu tahun ini dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan Ke-67.
Menceritakan pengalaman proses pemasangan Jalur Gemilang Gergasi, Jurutera Rendang Engineering Sdn Bhd, Arif Helmi Ahmad, 29, berkata ini pengalaman keduanya memasang bendera bersaiz besar itu, lapor Berita Harian.
Katanya, tahun lalu adalah kali pertama dia bersama pasukan memasang bendera bersaiz gergasi di lokasi yang sama.
"Memang banyak cabaran dan risiko perlu dihadapi sepanjang proses memasang bendera ini kerana selain saiznya yang besar, ia juga berat.
"Pasukan kami seramai kira-kira enam orang memulakan proses memasang dengan mengangkat bendera ke menara menggunakan tali.
"Proses ini mengambil masa kira-kira dua jam kerana faktor lokasi yang terhad dan berat bendera," katanya ketika ditemui selepas Majlis Mengibarkan Jalur Gemilang Gergasi di Menara Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.
Arif Helmi yang sudah empat tahun menjadi jurutera berkata, selepas bendera berjaya dinaikkan di lokasi yang sesuai, pasukan mereka bertindak memasang bendera itu di menara berkenaan.
Katanya, proses memasang bendera dilakukan secara teliti dan mengambil masa dua hari untuk memastikan ia tidak jatuh jika ditiup angin kuat.
"Proses terakhir iaitu pada hari ketiga membuka setiap ikatan pada bendera dan mengibarkannya.
"Proses ini juga perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelak ada objek yang terjatuh ke bawah," katanya.
Akuinya, proses memasang Jalur Gemilang Gergasi kali ini sedikit mudah berbanding kali pertama pada tahun lalu.
Katanya, ia berdasarkan pengalaman sebelum ini, kerana kali ini semuanya lebih teratur selain setiap orang dalam pasukan sudah tahu tugasan masing-masing.
"Bagaimanapun, apa yang penting sepanjang proses memasang bendera ini adalah tahap keselamatan setiap kakitangan dengan memakai peralatan keselamatan yang sesuai," katanya.
Pengarah Rendang Engineering Sdn Bhd yang juga Pengarah Projek, Zafrul Idham Mohd Zahudi, 48, berkata faktor angin memainkan peranan agar bendera itu berkibar dengan baik.
Katanya, bendera diperbuat daripada nilon itu direka dengan ketahanan yang lebih kuat dan mampu bertahan dengan angin.
"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, bendera kali ini mempunyai tahap ketahanan lebih baik dan tiada masalah jika berhadapan dengan angin kuat.
"Namun, kelajuan angin minimum 15km/jam paling sesuai untuk bendera ini berkibar dengan cantik," katanya.
Untuk proses menurunkan bendera itu nanti pula katanya, akan dimulakan dengan menarik secara perlahan-lahan bendera itu.
Katanya, kelajuan angin ketika itu nanti akan memainkan peranan sama ada proses akan menjadi mudah atau sebaliknya.
"Proses akan dimulakan dengan menarik secara perlahan bendera itu dan akan diikat semula sebelum diturunkan secara perlahan menggunakan cara sama seperti dinaikkan," katanya.
Zafrul Idham berkata, walaupun sepanjang proses pemasangan bendera itu berjalan dengan lancar, bagaimanapun pasukannya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi apa jua kemungkinan.
Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh, berkata usaha mengibarkan Jalur Gemilang Gergasi itu adalah sebagai tarikan orang ramai ke bangunan ikonik itu.
Lokasi Menara Kuala Lumpur terletak di tengah ibu kota, membolehkan orang ramai menyaksikan bendera itu dari semua sudut sejauh 10 kilometer.
"Diharap inisiatif ini dapat dilaksanakan pada setiap tahun sebagai tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara sebagai tanda kecintaan kepada negara," katanya.
Tahun lalu, pihaknya menggunakan dua bendera namun kali ini selepas belajar daripada beberapa kesilapan lalu, hanya satu bendera digunakan.
Kos keseluruhan untuk mengibarkan Jalur Gemilang Gergasi kira-kira RM300,000.
"Saya berharap usaha Menara Kuala Lumpur ini juga akan menaikkan semangat patriotisme di kalangan semua rakyat Malaysia," katanya.
Comments