top of page
  • Wartawan Nabalu News

Big Heart Libaran hulur sumbangan kepada murid Asrama Desa SK Sungai Padas



Dr.Peter (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Padas, Jumiati Alding.

19 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Big Heart Libaran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan menyampaikan sumbangan kepada pelajar Asrama Desa SK Sungai Padas, Sg.Manila, di sini.


Penaung Big Heart Libaran Dr Peter Jr Naintin berkata, sumbangan kewangan itu adalah untuk membantu menampung perbelanjaan seramai 34 murid yang mengadakan Lawatan Sambil Belajar di beberapa tempat menarik di Kota Kinabalu dan Kundasang baru-baru ini.


"Kesemua pelajar sekolah rendah berkenaan adalah daripada keluarga berpendapatan rendah dan belum pernah menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu.


“Saya berharap lawatan ini akan membuka minda dan memberikan suntikan semangat kepada mereka terus belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang cerah dan seterusnya mengubah kehidupan keluarga yang lebih baik,” katanya kepada Nabalu News.


Para pelajar itu mengadakan lawatan di Muzium Sabah, Zoo Lok Kawi, Petrosains, Balai Seni Lukis Sabah dan Kundasang Desa Farm.


Dr.Peter yang juga Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Libaran berkata, SK Sungai Padas adalag satu-satunya sekolah rendah di Sandakan yang mempunyai asrama sebagai penginapan kedua untuk murid-murid daripada keluarga susah, anak yatim dan miskin tegar.


“Kebanyakan murid Asrama Desa ini tidak pernah menjejakkan kaki keluar dari daerah Sandakan,” katanya.

Comments


bottom of page