• Wartawan Nabalu News

BILIK GERAKAN BANJIR TAMPARULI DIAKTIFKAN


18 Jan 2021

Oleh Joanes Robert Johnny


TAMPARULI: Bilik Gerakan Jawatankuasa Bencana Banjir di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli turut diaktifkan sebagai persiapan bagi memindahkan para penduduk sekiranya paras air naik.


Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, peranannya adalah bagi mengumpul maklumat dalam keadaan yang telah dimurnikan untuk disampaikan kepada Bilik Gerakan Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Tuaran.


"Saya telah meminta Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli dan Pejabat Wakil Rakyat Tamparuli untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bagi membantu penyaluran bantuan dan pemindahan mangsa-mangsa banjir yang terlibat," katanya.


Beliau pada Majlis Penyampaian Sumbangan Creamos Bun Dan Roti Keras Manis kepada penduduk dikuarantin akibat Covid-19 di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, sini, kelmarin.


Turut hadir Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dexter Lau, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.


Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli berkata, pengaktifan serta-merta itu penting bagi menyampaikan maklumat mengenai mana-mana kawasan yang memerlukan bantuan seperti bot, pusat pemindahan, bantuan dapur segera dan sebagainya.


Menurutnya, buat masa ini tiga kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dikenal pasti adalah di Masjid Kampung Bunga Tenghilan, Dewan Tun Hamdan dan Dewan Seri Sulaman dan sekiranya perlu juga akan ditambah.


Beliau memantau keadaan-keadaan terkini banjir yang berlaku di kawasan berisiko yang dikenal pasti di kawasan Tuaran khususnya Tamparuli.


"Jika perlu Pejabat Adun Tamparuli juga akan membantu menyediakan tempat bagi mengumpul maklumat dan menyelaras tindakan untuk penyaluran bantuan,” katanya.


Terdahulu, Jahid turut menghargai syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad diketuai Dexter kerana selain sudi mengongsikan rezekinya kepada masyarakat memerlukan, beliau turut bersetuju untuk menyumbang bun itu kepada mereka yang terjejas akibat banjir.


Majlis penyampaian sebanyak 7,000 Creamos Bun dan 1,000 Roti Keras Manis kepada lebih kurang 500 orang dari 9 kampung terlibat merupakan anjuran bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Pejabat Adun Tamparuli, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli.


Selepas majlis itu, Jahid turut melawat ke Kampung Sungai Damit, salah satu kampung yang turut dinaiki air.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com