Bomba redah hutan berbukit sejauh 5 km selamatkan lelaki dihempap pokok
- nabalunews
- Nov 1, 2024
- 1 min read

1 November 2024
PENAMPANG: Lapan anggota bomba terpaksa meredah hutan berbukit bukau dalam perjalanan sejauh lebih lima kilometer untuk menyelamatkan seorang lelaki yang cedera selepas dihempap pokok dalam kejadian di Kampung Togudon, di sini, semalam.
Mangsa berusia 46 tahun cedera di bahagian kepala dan tangan akibat dihempap pokok yang tumbang ketika sedang menjalankan aktiviti memotong pokok di kebunnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.08 tengah hari.
Katanya, sepasukan 8 pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Penampang bersama kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 35 kilometer dari balai.
“Jarak ke lokasi mangsa dihempap pokok dari jalan raya sejauh lebih lima kilometer dan pasukan bomba terpaksa meredah laluan mencabar termasuk bukit dan sungai.
“Setiba di lokasi didapati mangsa stabil namun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa
seterusnya membawa mangsa ke Kampung Togudon menggunakan junkin stretcher.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada ambulans KKM dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk rawatan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 4.16 petang selepas pasukan bomba memastian tiada bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian,” katanya.
ความคิดเห็น