Borneo.TV platform utama untuk anak Sabah berkarya
- nabalunews
- Jul 7, 2025
- 1 min read

7 Julai 2025
KOTA KINABALU: Anak tempatan Sabah khususnya pempengaruh, pemain industri dan penggiat seni, menjadi keutamaan Borneo.TV sebagai platform penstriman yang mengetengahkan wajah, suara dan budaya negeri ke peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Datuk Rosmadi Datu Sulai berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka dan bersedia untuk bertemu semua pihak berkepentingan berkenaan bagi membincangkan isu-isu sekali gus menambah baik industri kreatif negeri.
“Justeru dakwaan kononnya penggiat industri kreatif tempatan diabaikan atau dipinggirkan tidak seharusnya timbul kerana kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk mendengar pendapat dan pandangan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, peluang untuk bersama-sama Borneo.TV perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pempengaruh, pemain industri dan penggiat seni tempatan dalam menyebarluaskan penceritaan, kejayaan serta daya tarikan Sabah sekali gus menarik minat penonton di peringkat global.
Dalam pada itu, Rosmadi berkata ia juga akan membantu kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan berkualiti di bidang penyiaran digital dan penstriman dalam kalangan anak-anak tempatan.
“Dengan pewujudan Borneo.TV ini, manfaat besar tentulah kepada syarikat-syarikat produksi anak-anak Sabah sendiri yang boleh menjadi penyedia kandungan atau content provider.
“Inilah masanya untuk merebut peluang yang ada dengan menghasilkan karya berkualiti yang mampu dipromosikan ke peringkat antarabangsa menerusi platform Borneo.TV,” katanya.
Borneo.TV sebelum ini dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 1 Julai lalu, dengan slogan Cerita Sabah di Mata Dunia (Sabah in the Eyes of the World).
Platfrom ini bakal menjadi saluran utama menyampaikan kandungan sahih, dokumentari asli, seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah melalui pendekatan digital yang lebih moden, fleksibel dan global.















Comments