- nabalunews
BOT KARAM, MAYAT PEMANCING LEMAS DITEMUI

7 DIS 2020
TUARAN: Seorang pemancing ditemui lemas selepas bot yang dinaiki mangsa bersama tiga rakan yang lain karam di muara Sungai Bolong, semalam.
Manji Bakal, 50 ditemukan orang awam kira-kira 300 meter dari lokasi bot yang karam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mayat mangsa yang didapati tidak memakai jaket keselamatan itu ditemukan tidak jauh dari lokasi bot karam.
“Berdasarkan keterangan rakan mangsa yang terselamat, mereka berlepas dari jeti Kampung Simpangan dengan tujuan memancing pada jam 8 pagi, semalam.
“Namun ketika dalam perjalanan menuju ke muara sungai, bot mereka dipukul ombak sebanyak tiga kali menyebabkan enjin bot terlanggar beting pasir lalu karam.
"Walau bagaimanapun, tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke kawasan pesisir pantai dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan susulan manakala seorang lagi hilang dikhuatiri lemas sebelum ditemui jam 5.28 petang semalam," katanya.
Mohd Hamizi berkata, mayat mangsa akan dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Semalam, beliau menerima laporan berhubung kejadian bot karam pada jam 9.30 pagi yang membabitkan empat mangsa.