• Farah Salim

Bung Moktar, isteri diperintah bela diri tuduhan rasuah


2 Sept 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri masing-masing atas tiga pertuduhan rasuah.


Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob berkata pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan itu.


Bung yang juga timbalan ketua menteri Sabah dan isterinya Zizie Izette diperintah membela diri atas tuduhan menerima rasuah RM2.8 juta.


Pada 3 Mei 2019, Bung didakwa atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad manakala Zizie pula dituduh bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama.


Bung, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, dituduh menerima rasuah tersebut daripada ejen pelaburan melalui Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015.