• nabalunews

BUNUH DIRI: HUBUNGI TELEKAUNSELING JIKA ADA AHLI KELUARGA, RAKAN TERTEKAN



25 NOV 2020


PUTRAJAYA: Ahli keluarga dan rakan-rakan memainkan peranan penting dalam mencegah cubaan bunuh diri yang dilaporkan semakin meningkat sejak penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.


Untuk itu, beliau meminta mereka menghubungi Talian Khas Kaunseling COVID-19 yang diwujudkan melalui Talian Kasih 15999 dan WhatsApp 019-2615999 jika mengenal pasti terdapat ahli keluarga atau rakan yang mengalami kemurungan.


"Boleh hubungi untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan jika keadaan ini berlaku. Kita faham ramai yang terjejas, setiap orang menghadapi cabaran yang berbeza dan cara mereka hadapi pun berbeza," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Orang Kurang Upaya (OKU) 2020, di sini hari ini.


Sejak diwujudkan pada 26 Mac lepas hingga 22 Nov lepas, Rina berkata Talian Khas Kaunseling COVID-19 menerima sebanyak 3,012 panggilan yang dihubungkan terus kepada Lembaga Kaunselor Malaysia.


"Daripada aduan yang kita terima, banyak yang menyebut perkataan tertekan (stress). Ada kerana tidak dapat keluar rumah, pendapatan terjejas dan ada juga hubungan antara keluarga yang terjejas," katanya.


Mengenai kes keganasan rumah tangga, Rina berkata Talian Kasih menerima sebanyak 2,319 aduan sejak Januari hingga 22 Nov lepas dengan jumlah tertinggi juga direkodkan pada April dan Mei iaitu masing-masing sebanyak 337 dan 420 panggilan.


Untuk itu, sempena Hari Hentikan Keganasan Terhadap Wanita yang disambut hari ini, kementeriannya melaksanakan pelbagai kempen seperti 'Wanita Anti Jenayah' serta libat urus dengan badan bukan kerajaan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, katanya.


Beliau berkata daripada 581,265 OKU berdaftar di seluruh negara, sebanyak 15,326 bekerja di sektor swasta dan 4,202 lagi sedang berkhidmat dalam perkhidmatan awam, manakala 1,397 OKU pula mendapat pekerjaan melalui program 'Job Coach' yang dilaksanakan kementerian.


"Job coach ini tugasnya antara lain untuk menghubungkan antara pekerja OKU dengan majikan dan rakan sekerja sebab apa yang lebih penting kepada kami ialah supaya OKU yang bekerja ini boleh terus bekerja dan mendapat pendapatan," katanya sambil menyeru lebih banyak pihak swasta untuk tampil memberi peluang pekerjaan kepada OKU agar golongan itu tidak terpinggir terutamanya ketika negara sedang dilanda pandemik COVID-19.


Pada majlis yang diadakan bersempena Hari OKU peringkat kebangsaan yang akan disambut pada 3 Dis nanti, Rina menyampaikan Anugerah Majikan Prihatin kepada empat syarikat iaitu McDonalds Malaysia, AEON Co (M) Bhd, Uniqlo (M) Sdn Bhd dan Mydin Mohamed Holdings Bhd yang menggaji OKU lebih satu peratus daripada keseluruhan pekerja mereka.


Selain itu, Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU disampaikan kepada pasangan Zulkifly Samsudin dan Suhaila Abdul Manap yang mempunyai dua anak OKU, selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com