• Wartawan Nabalu News

Cadangan pemberian kad warga asing sama dengan PSS



3 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Cadangan pemberian kad warga asing tiada bezanya dengan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan kerajaan terdahulu sehingga menjadi isu hangat pilihan raya lepas.


Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Nelson W. Angang berkata, apa yang membezakan ialah nama kerana konsepnya sama.


“Kami hadir dalam Sesi Townhall Pendataan Digital Warga Asing Negeri Sabah semalam. Sejujurnya apa yang kita dengar, tidak ada bezanya dengan apa yang dicadangkan oleh agensi Kerajaan Persekutuan semasa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) - Warisan.


“Ia sebenarnya cadangan yang sama dengan nama yang berbeza. Mereka namakan sebagai pendataan tetapi jika melihatnya dalam satu perkara, ia seperti PSS. Agensi yang terlibat juga adalah agensi yang sama yang memberikan cadangan yang sama sebelum ini.


“Mereka yang dijemput juga adalah orang yang sama yang kami jemput sebelum ini. Pemimpin (kerajaan hari ini) yang menentang perkara ini semasa kerajaan terdahulu juga hadir. Kita juga mendengar komen supaya isu ini tidak dipolitikkan, sebenarnya semasa kerajaan Pakatan Harapan- Warisan kami tidak mempolitikkan perkara ini,” katanya pada sidang media, di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Kinabalu, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kerajaan Sabah meneruskan rancangan mengeluarkan pengenalan digital kepada warga asing yang berada di negeri ini.


Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas mengenai Pekerja serta Warga Asing Tanpa Dokumen Sah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, perkara itu diputuskan selepas mendapat persetujuan pelbagai pihak dalam sesi townhall.


Dalam sesi itu, Jawatankuasa Khas mengenai Pekerja serta Warga Asing Tanpa Dokumen Sah mendapat sokongan 89 peratus daripada peserta yang hadir bagi rancangan mengeluarkan pengenalan digital kepada warga asing di Sabah.


Ketika ditanya sama ada PH menyokong cadangan kerajaan Sabah pada hari ini, Nelson berkata: “Sebelum ini UPKO juga telah mengadakan perbincangan meja bulat dan membincangkan perkara yang sama”.


“Kami menyokong idea mengadakan sesi townhall di seluruh Sabah untuk memberi penjelasan kepada warga Sabah mengenai perkara ini, tetapi apabila kita bercakap tentang isu ini, kebanyakan orang akan mengatakan Pendaang Tanpa Izin (PTI). Sebenarnya ia bukan tentang PTI tetapi mengenai masalah warga asing secara menyeluruh di Sabah,” katanya.


Beliau berkata, terdapat empat kategori utama warga asing di Sabah iaitu PTI, pelarian, tanpa kewarganegaraan dan mereka yang memperolehi kad pengenalan (IC) secara haram tetapi berada dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


“Empat kategori ini adalah masalah yang berbeza dan memerlukan penyelesaian berbeza,” katanya dan menambah cadangan PSS sebelum ini adalah untuk menyelesaikan masalah satu kategori sahaja iaitu pelarian dan bukan untuk kategori PTI, tanpa kewarganegaaran atau yang memperolehi IC secara haram.


Bagaimanapun katanya, berdasarkan kenyataan kerajaan hari ini dan Menteri Dalam Negeri Persekutuan mengenai cadangan ini mereka bukan sahaja memberikannya untuk kategori pelarian tetapi kepada warga asing tanpa kewarganegaraan.


Mengulas lanjut mengenai PSS, Nelson berkata, cadangan itu bermula semasa kerajan Barisan Nasional (BN) dikenali sebagai Pas Residen Sabah selepas Laporan Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah dan kemudiannya ditukar kepada Pas Sementara Sabah (PSS).


“Cadangan kerajaan hari ini dan kerajaan terdahulu untuk menyelesaikan masalah warga asing di Sabah adalah sama.


“Mereka hanya membahagikannya kepada dua bahagian iaitu pendataan untuk mendapat statistik warga asing kemudiannya mengeluarkan kad. Semua orang bersetuju dengan pendataan kerana kita ingin tahu maklumat dan statistik sebenar mereka di Sabah.


“Saya faham kerana saya seorang peguam dan di Mahkamah, setiap hari ada kes PTI yang mempunyai dokumen IMM13, Kad Burung Burung dan Sijil Banci... kad burung burung dan sijil banci hanya sekeping kertas yang amat mudah dipalsukan.


“Pendirian kami ialah, ya (sokong) jika ia (cadangan) bagus. Tetapi apa yang penting ialah memberi penjelasan kepada rakyat Sabah agar mereka memahami dengan lebih jelas masalah warga asing dan PTI di Sabah,” katanya.