Cadangan pembukaan cawangan Bank Rakyat dibincang Ahli Parlimen Kudat dengan Menteri KUSKOP
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Cadangan pembukaan cawangan Bank Rakyat dibincang Ahli Parlimen Kudat dengan Menteri KUSKOP


Ewon (tiga dari kiri) dan Verdon (dua kiri) bersama pegawai-pegawai Parlimen Kudat bergambar bersama selepas pertemuan itu.

2 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Cadangan membuka cawangan Bank Rakyat di pekan Pitas antara perkara yang dibincangkan oleh Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick.


Menurut Verdon, keperluan tersebut sangat mustahak kerana pekan Pitas tidak mempunyai sebarang perkhidmatan bank sehingga hari ini sekaligus menyukarkan penduduk di daerah tersebut yang terpaksa berurusan di pekan Kota Marudu untuk mendapatkan perkhidmatan bank.


Dalam hal itu, Ewon menyatakan kesediaan mempertimbangkan keperluan tersebut mengambil kira ketersediaan bangunan yang bersesuaian untuk digunakan dan juga capaian perkhidmatan oleh Bank Rakyat.


Bank Rakyat adalah satu daripada 10 agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia.


Turut dibangkitkan oleh Verdon ialah keperluan menaiktaraf kawasan tamu penjaja dan peniaga kecil di pekan Kanibongan, Pitas, Kudat dan Banggi serta pembangunan keusahawanan dan koperasi di parlimen Kudat.


Keperluan-keperluan tersebut dibangkitkan oleh Verdon semasa pertemuan beliau dengan Ewon di Kota Kinabalu lewat petang hari ini.


Dalam pertemuan tersebut juga, Ewon mengulangi komitmen beliau agar kementerian dan agensi-agensi kementerian memberi fokus tambahan kepada pembangunan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil terutamanya di daerah-daerah luar bandar di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.

bottom of page