top of page

Cadangan semak semula peperiksaan Tahun 6, Tingkatan 3 dibawa ke Kabinet

  • nabalunews
  • Sep 17, 2024
  • 2 min read

16 September 2024


KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia untuk membawa ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan dengan lebih lanjut, berkenaan cadangan bagi menyemak semula dasar pendidikan berkaitan peperiksaan Tahun 6 dan Tingkatan 3 susulan masalah dihadapi oleh pelajar dalam kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira (3M).


Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, hari ini sebagai mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu majlis di Shah Alam semalam.


Ahmad Zahid dilaporkan berkata bahawa hasil perbincangan terdahulu antara KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi mendapati isu kelemahan dalam 3M menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada seramai 10,177 pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.


"Adapun tentang hasrat beliau (Ahmad Zahid) itu, saya ingat mungkin kita boleh bawa ke peringkat jemaah menteri untuk diputuskan dan dibincangkan," katanya seperti dilaporkan Berita Harian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Integriti Kota Kinabalu.


Sambil menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri itu, Fadhlina menjelaskan proses penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara sedang dibuat oleh kementeriannya ketika ini.


Katanya, kementerian sebelum ini sudah mengumumkan enam agenda reformasi pendidikan negara iaitu Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kejuruteraan dan matematik (STEM), pendidikan digital, pemerkasaan kurikulum sains, teknologi, perluasan dan pengukuhan prasekolah serta pelan pendidikan dan kurikulum prasekolah serta memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris.


"Kita juga telah melihat persiapan dalam aspek Pelan Pembangunan Pendidikan negara yang baharu berikutan pelan sedia ada akan berakhir pada tahun 2025.


"Begitu juga dengan pelaksanaan kurikukum baharu yang akan berlangsung pada tahun 2027 namun ia akan bermula lebih awal buat pra sekolah pada tahun 2026.


"Saya fikir dari aspek tambahbaik, reformasi itu berjalan. Adapun tentang hasrat beliau itu saya ingat mungkin kita boleh bawa ke peringkat jemaah menteri untuk diputuskan dan dibincangkan," katanya.


Mengenai isu ketiadaan peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 menjadi indikator masalah pelajar tidak mahir 3M, Fadhlina berkata, kementeriannya sudah menyatakan komitmen tentang perkara itu menerusi pengumuman intervensi kurikulum yang sudah membuahkan hasil.


"Kita berjaya mengenalpasti seramai 120,000 anak-anak darjah satu yang belum menguatkuasai 3M.


"Dalam aspek itu, isu keciciran ini sudah pun kita tangani dan bakal kita teruskan dengan beberapa program signifikan yang akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page