top of page

Cecair Rokok Elektronik dikawal ketat di bawah Akta 852 - KKM

  • nabalunews
  • Jun 2
  • 1 min read

2 Jun 2025


PUTRAJAYA: Aktiviti pengimportan, pengilangan dan pengedaran cecair rokok elektronik dikawal Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) walaupun dibenarkan untuk didagangkan di pasaran tempatan, kata Kementerian Kesihatan (KKM).


KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mengikut Seksyen 2 Akta 852 cecair rokok elektronik ditafsirkan sebagai ‘bahan merokok’ iaitu bahan atau sebarang gabungan bahan yang digunakan untuk merokok termasuk nikotin, propylene glycol, glycerol dan triethylene glycol.


“Oleh yang demikian, bahan merokok ini merupakan produk merokok yang dibenarkan untuk didagangkan di pasaran tempatan namun dikawal ketat mengikut Akta 852 bersama peraturan dan perintah di bawahnya,” katanya.


Kenyataan itu merujuk kepada laporan berkaitan sebuah syarikat yang mendapat lesen pengilang secara interim bagi mengeluarkan peranti rokok elektronik dengan cecair atau gel yang mengandungi campuran nikotin.


Menurut KKM, pengeluaran lesen pengilang adalah di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berdasarkan Akta Penyelarasan Perindustrian, dan pihak berkuasa tempatan melalui penguatkuasaan undang-undang kecil berkait aktiviti pelesenan.


Dalam pada itu, katanya, produk merokok itu turut dikawal oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui kawalan pengimportan termasuk bahan mentah dan barangan siap, serta pengujian piawaian keselamatan peranti oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).


“Sebarang keputusan berkaitan aktiviti pengimportan, pengilangan, dan pengedaran cecair rokok elektronik merupakan keputusan kolektif oleh semua agensi-agensi kerajaan seperti di atas,” katanya.


Selain itu katanya, Akta 852 juga memperuntukkan kuasa kepada KKM untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kandungan serta emisi semua jenis produk merokok.


“KKM komited untuk memastikan penguatkuasaan dan kawalan di tahap maksimum bagi memastikan perlindungan kesihatan dan keselamatan masyarakat,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page