• Jacquline Ebit

Ceramah pencegahan bunuh diri secara maya 4 September ini



12 Ogos 2021

Oleh Jacquline Ebit


KOTA KINABALU: Ceramah latihan pencegahan bunuh diri atau "suicide gatekeeper" di bawah Program Sinar Hati akan diadakan secara maya pada 4 September ini.


Program menerusi platform Zoom itu dianjurkan Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Hospital Mesra Bukit Padang.


Menurut pihak penganjur, program itu diadakan bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2021.


“Kita mengalu-alukan orang ramai mengikuti program itu yang diadakan secara maya menerusi platform Zoom.


“Latihan ini akan diadakan dalam tiga bahasa, dan sesi Bahasa Melayu akan diadakan pada 4 September (Sabtu), pukul 9 pagi sehingga 12.30 tengahari,” katanya dalam kenyataan media.


Berdasarkan, Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 17 Jun 2021, nisbah kematian akibat bunuh diri adalah satu dari 100 kematian di dunia.


Pada tahun 2019 dilaporkan bahawa lebih daripada 700,000 orang meninggal dunia sebab bunuh diri.


Dalam pada itu, satu kajian oleh National Health Morbidity Survey 2019, menunjukkan negeri Sabah merupakan salah satu negeri yang mencatatkan peratusan tinggi dalam peratusan kemurungan iaitu sebanyak 4.0 peratus.


Manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya 5.4 peratus, Negeri Sembilan 5.0 peratus, Perlis 4.3 peratus, dan Melaka 3.8 peratus.


“Kejadian bunuh diri membawa kesan yang besar sebab setiap nyawa yang terkorban, dan dianggarkan 20 orang ahli keluarga atau rakan-rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.


“Maka adalah penting untuk program pencegahan bunuh diri ditingkatkan dalam kalangan masyarakat agar kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan tentang pengetahuan berkenaan pencegahan bunuh diri dapat ditingkatkan,” kata kenyataan itu.


Menurut kenyataan itu, aktiviti-aktiviti pencegahan bunuh diri bukan sahaja melibatkan individu, masyarakat, agensi-agensi berkaitan malah semua lapisan masyarakat harus berganding bahu bagi mencegah kejadian bunuh diri.


Pihak pengajur berkata, beberapa ceramah latihan "suicide prevention gatekeeper" diadakan untuk meningkat kesedaran masyarakat dan mengurangkan stigma terhadap orang awam yang membuat cubaan bunuh diri serta penyakit mental.


“Latihan ini akan memberikan pengetahuan kepada masyarakat untuk menjadi 'gatekeeper' kepada individu yang berisiko.


“Oleh itu, kami ingin menjemput semua untuk menyertai aktiviti-aktiviti pencegahan bunuh diri waktu era pandemik Covid-19.


“Kami berharap pengetahuan yang diberikan dapat menyelesaikan masalah salah faham terhadap isu bunuh diri, mengenalpasti tanda-tanda bunuh diri dan seterusnya dapat melakukan rujukan kepada pihak yang berkenaan,” katanya.


Hari Pencegahan Bunuh diri Sedunia diadakan pada tanggal 10 September setiap tahun dan tema tahun ini ialah “Creating Hope Through Action” atau “Bertindak Segera, Harapan Terbina”.