• Wartawan Nabalu News

CETAKAN EDISI TERAKHIR AKHBAR NEW SABAH TIMES ESOK, TERHAD 1,200 NASKAH

Updated: Dec 31, 2020




30 Dis 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pelanggan tetap dan pembaca setia akhbar New Sabah Times boleh mendapatkan edisi terakhir akhbar itu esok (31 Dis) sebelum akhbar tempatan tertua di Sabah itu melabuhkan tirainya.


Pengurus Produksi akhbar New Sabah Times, Cyrillus John berkata, cetakan terakhir amat terhad, hanya 1,200 naskah kerana kertas cetak yang ada hanya mampu mencetak sebanyak itu.


Barisan belakang Cyrillus (tiga kiri), Felix Gusti dan Ch'ng Boon Heng (kanan), bersama sebahagian warga NST.

Beliau yang berkhidmat dalam penerbitan akhbar itu 20 tahun lalu berkata, sejak mula bekerja cetakan harian lebih 22,000 naskah setiap hari, namun sejak kebelakangan ini cetakan menurun sekitar 800 naskah sehari.


“Hari ini, cetakan edisi terakhir akhbar New Sabah Times untuk esok (31 Dis), hanya 1,200 naskah sebab kertas cetak yang ada hanya mampu mencetak sebanyak itu,” katanya ketika ditemui di pejabat New Sabah Times, di sini, hari ini.


Muka depan edisi akhir akhbar itu bertajuk “New Sabah Times Akhiri Penerbitan” dengan beberapa gambar kenangan kakitangan akhbar itu serta keratan akhbar terbitan pertama New Sabah Times pada tahun 1998.


Amin bersama Simon.

Antara petikan berita muka depan akhbar itu ialah “Mengucapkan selamat jalan kadang kala sesuatu yang amat sukar dalam kehidupan lebih-lebih lagi mengakhiri perjalanan tetapi NST sudah pasti akan melabuhkan tirai, sesuatu keputusan yang amat sukar".


Warga New Sabah Times turut merakamkan jutaan terima kasih kepada para pembaca, pengiklan dan rakan-rakan sekerja yang setia bersama akhbar itu dalam tempoh 22 tahun ini.


Sementara itu Ketua Pengarang Bahasa Melayu Hj.Mohd Amin Hj Muin berkata, keputusan telah dibuat untuk akhbar tertua di negeri ini, menamatkan operasi pada 31 Disember ini.


Beliau adalah Ketua Pengarang Bahasa Melayu sejak akhbar itu beroperasi semula pada tahun 1998 sehingga kini.


“Sebelum itu saya pernah berkhidmat dengan akhbar ini atas nama Kinabalu Sabah Times dan Sabah Times pada 1 Januari 1981 hingga 1987 sebelum berhijrah untuk bersama-sama mengasaskan penerbitan akhbar Borneo Mail pada tahun 1989 hingga Feb 1998.


Muka depan ruangan BM, edisi terakhir NST

“Penutupan akhbar yang diasaskan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens ini merupakan kali kedua kerana akhbar ini juga pernah menamatkan operasi pada 1985 selama hampir empat tahun semasa saya bertugas di Borneo Mail.

Saya dan beberapa kakitangan Borneo Mail kemudiannya dipelawa bersama-sama rakan lain dari Daily Express untuk menghidupkan semula akhbar ini pada tahun 1998 hingga hari ini,” katanya.


Presca Tudol

Sementara itu Sub-Editor Bahasa Melayu Presca Tudol dan Almawati Rakim berkata, amat sukar menerima kenyataan operasi penerbitan akhbar New Sabah Times kini berakhir namun tiada yang dapat dilakukan disebabkan media cetak sukar bersaing dengan media-media online ketika ini.


“Memang amat sedih, tetapi kita terpaksa menerima kenyataan … akhbar ini tiada lagi di pasaran selepas ini,” kata Alma.


Almawati Rakim.