• nabalunews

COVID-19: 1,075 KES BAHARU, 11 KEMATIAN DILAPOR HARI INI - KP KESIHATAN


3 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Kes positif COVID-19 hari ini kembali mencatatkan empat angka dengan 1,075 kes baharu selain 11 kematian direkodkan, iaitu angka kematian harian kedua tertinggi pernah dilaporkan sejak pandemik itu melanda negara awal tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes positif baharu dalam tempoh 24 jam lepas itu merangkumi 1,072 kes penularan dalam negara dan tiga kes import, menjadikan jumlah terkumpul kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 69,095 kes.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 10,802 kes,” katanya dalam kenyataan.


Dr Noor Hisham berkata Lembah Klang melaporkan jumlah tertinggi iaitu 508 kes (47.3 peratus) dengan Selangor menyumbang 459 kes, manakala Sabah mencatat 310 kes (28.8 peratus), diikuti Johor sebanyak 78 kes (7.3 peratus).

Sementara itu, 11 kes kematian baharu yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19 di Malaysia kini 376 orang (0.54 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Kesemua kematian berkenaan melibatkan warga tempatan dalam lingkungan usia 50 hingga 81 tahun dengan tiga kematian di Selangor; masing-masing dua di Sabah dan Johor manakala Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kelantan pula mencatatkan satu kematian masing-masing.

Kebanyakan kes kematian itu juga mempunyai sejarah penyakit kronik seperti darah tinggi, dislipidemia, obesiti, kencing manis dan strok.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 116 kes positif covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (icu) dengan 46 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Bagi tempoh 24 jam lepas, 658 kes sembuh COVID-19 dicatatkan, menjadikan jumlah terkumpul kes sembuh sebanyak 56,969 kes (83.8 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes. - Bernama