Covid-19: 1,247 kes direkodkan di Sabah hari ini, 11 kematian

9 Ogos 2021 Oleh Jacquline Ebit KOTA KINABAU: Jumlah kes positif Covid-19 di Sabah pada hari ini mencatat sedikit penurunan iaitu dari 1,369 kes kelmarin kepada 1,247 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 95,082 kes. Sebanyak 11 kes kematian turut dilaporkan hari ini iaitu tiga kes di Tawau, dua kes di Tuaran, dua kes di Papar dan masing-masing satu kes di Kota Marudu, Ranau, Kota Kinabalu dan Penampang. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, semua daerah di Sabah pada hari ini mencatatkan kes baharu kecuali Tongod. "Tiga daerah di Sabah mencatatkan kes tiga digit, iaitu Kota Kinabalu (310 kes), Tawau (206 kes), dan Penampang (127 kes). "Manakala empat daerah merekod jumlah kes harian melebihi 50 kes, iaitu Tuaran (91 kes), Sipitang (70 kes), Putatan (55 kes) dan Sandakan (52 kes),” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Masidi berkata, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian di negeri Sabah dengan 770 kes bersamaan 62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini. "Daerah Kota Kinabalu, Tawau, Penampang dan Sipitang mencatatkan kes saringan kontak rapat yang tertinggi pada hari ini dengan 188 kes di Kota Kinabalu, 142 kes di Tawau, 86 kes di Penampang dan 58 kes di Sipitang. "Selebihnya, saringan bergejala merekodkan 295 kes, saringan kluster merekodkan 87 kes, saringan bersasar pula sebanyak 31 kes dan saringan lain-lain kes sebanyak 64 kes daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini. Dalam pada itu, 842 kes daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 530 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 747 kes sekadar mengalami simptom ringan. “Kedua-dua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC,” katanya.
Tambahnya lagi, 11 kes dalam Kategori 3, lima kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam kategori 5. Kategori 3 hingga 5 merupakan pesakit yang memerlukan perhatian dan perlu dimasukkan ke dalam hospital.
Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 858 menjadikan jumlah kumulatif 82,571 orang.
“Seramai 4,447 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,064 orang di hospital, 3,409 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 79 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala lima orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 141 orang dan 59 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
留言