• Wartawan Nabalu News

COVID-19: 132 ORANG PELAUH SEKITAR BANDARAYA DIKUMPUL DALAM OPS BANGAU


5 Mac 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seramai 132 orang Pelauh di sekitar bandaraya Kota Kinabalu berjaya dikumpul dalam Ops Bangau untuk disaring Covid-19 sebelum dihantar ke Depo Imigresen untuk tindakan selanjutnya.


Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), daripada jumlah itu 39 orang dewasa lelaki, 38 orang dewasa perempuan, 17 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan, manakala 13 bayi.




Operasi yang dijalankan bermula jam 8.30 pagi kelmarin itu diketuai oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Imigresen.


"Berikutan dengan kehadiran masyarakat pelauh seperti yang terdapat di media sosial baru-baru ini, DBKK bertindak atas dasar kemanusiaan untuk menempatkan mereka sehingga diambil alih oleh agensi berkaitan," katanya dalam kenyataan itu.



Operasi oti diadakan di sekitar kawasan Sembulan dan Inanam akan berterusan sehingga 7 Mac ini.



"Warga pelauh ini akan dikumpul dan disaring Covid-19 sebelum dihantar ke Depo Imigresen untuk tindakan pihak tersebut selanjutnya.


"Dalam tempoh pengasingan ini, warga pelauh akan ditempatkan di penempatan sementara bagi menunggu keputusan saringan Covid-19," menurut kenyataan itu.


DBKK mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada agensi RELA dan Jabatan Imigresen yang bersama-sama DBKK dalam ops ini yang melibatkan 75 orang keseluruhannya.