• nabalunews

COVID-19: 2,712 KES BAHARU, REKOD TERTINGGI 25 KEMATIAN

Updated: Feb 19



Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

18 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 25 kematian harian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, angka tertinggi sejak penularan jangkitan itu dikesan di negara ini awal Januari tahun lalu.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes kematian itu menjadi jumlah kumulatif kes kini sebanyak 1,030 kes.


Dalam pada itu, katanya, kes baharu mencatatkan sedikit penurunan iaitu 2,712 kes berbanding 2,998 kes semalam, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 274,875 kes.


Menurutnya, daripada jumlah kes baharu itu, empat adalah kes import manakala 2,708 kes adalah penularan tempatan. Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula merekodkan sebanyak 38,763,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan semasa wabak itu, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 5,320 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 235,082 kes atau 85.5 peratus.


Memperinci lebih lanjut, katanya, terdapat 227 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 103 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.


Dr Noor Hisham berkata Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,013 kes diikuti Johor (426 kes) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 212 kes.

Sarawak mencatat 200 kes, Perak (198 kes), Kedah (182 kes), Pulau Pinang (116 kes), Sabah (114 kes), Negeri Sembilan (81 kes), Pahang (52 kes), Kelantan (43 kes), Melaka (38 kes), Terengganu (19 kes), Putrajaya (7 kes), Perlis (6 kes) dan Labuan (5 kes).


Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata 17 kluster baharu dikenal pasti dengan kluster berkaitan tempat kerja masih merekodkan angka tertinggi sebanyak 14 kluster manakala masing-masing satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi, keagamaan, dan komuniti.


Beliau berkata bagi kluster melibatkan tempat kerja, lima adalah di Selangor iaitu Jalan Bukit Kemuning, Jalan Jitu, Jalan Hulu Tinggi, Mayang dan Jalan Industri Kidamai; empat di Johor (Perindustrian Fasa Dua, Jalan Perindustrian Estate, Jalan DPB Tiga dan Jalan Tebrau); di Sabah (Lot Satu dan Lot Tujuh) manakala masing-masing satu kluster di Pulau Pinang (Lintang Kampung Jawa), Perak (Jalan Changkat Jong) dan Kuala Lumpur (Mediacity).

"Bagi kluster kumpulan berisiko tinggi pula ialah di Jalan Sri Putri, Johor; kluster komuniti di Kampung Jawek, Terengganu dan kluster keagamaan di Jalan Telok Ira, Pahang," katanya.


Dr Noor Hisham berkata kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Kebun Baru (188 kes), Kluster Jalan Changkat Jong (158 kes) dan Kluster Selambau (155 kes).


Beliau berkata 539 kluster telah tamat termasuk 10 kluster tamat hari ini.


Kluster tersebut ialah Kluster Silimpopon, Kluster Tapak Bina Dutamas, Kluster Gunung Raya, Kluster Taman Juta, Kluster Kampung Tengah, Kluster Alor Durian, Kluster Lintas Seraya, Kluster Jalan Kelapa, Kluster Tampoi Tujuh dan Kluster J Bandar. - Bernama