• Wartawan Nabalu News

COVID-19: 310 KES BAHARU, DUA KEMATIAN, TIGA KLUSTER BAHARU DI SABAH



3 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini adalah sebanyak 310 kes, dua kematian dan tiga kluster baharu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 310 kes positif Covid-19, 160 kes berpunca dari saringan kontak rapat, 59 kes saringan kluster

baharu dan sedia ada, saringan bergejala (52 kes), saringan komuniti (16 kes) dan lain-lain kategori (23 kes).


"Lahad Datu mencatatkan kes baharu tertinggi sebanyak 77 kes, diikuti Kota Kinabalu sebanyak 57 kes, Sandakan (47 kes), Penampang (29 kes), Tawau (23 kes), Tuaran dan Putatan masing-masing 17 kes, Kudat (16 kes).


“Daerah Papar (lapan kes), Semporna, Beluran dan Kinabatangan masing-masing lima kes, Beaufort (dua kes), Keningau dan Tongod masing-masing satu kes.


“Daerah Kota Belud, Pitas, Ranau, Kunak, Tambunan, Kalabakan, Tenom, Kuala Penyu, Kota Marudu, Sipitang, Telupid dan Nabawan tidak mencatatkan kes baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, seramai 408 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif sembuh 26,641 orang.


“Sejumlah 2,139 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 622 orang di hospital dan 1,517 orang di PKRC. Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 62 orang dan 16 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.