• nabalunews

COVID-19: 4,008 KES BAHARU, 11 KEMATIAN HARI INI



20 Jan 2021


KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat 4,008 kes harian COVID-19 hari ini, angka harian kedua tertinggi selepas Sabtu lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Beliau berkata jumlah itu melibatkan 4,003 kes tempatan dan lima kes import sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 169,379.


Katanya, Selangor kekal dengan catatan kes tertinggi iaitu 1,391 kes diikuti Kuala Lumpur (513), Johor (470), Sabah (406), Sarawak (203), Negeri Sembilan (176), Perak (170), Kedah (142), Melaka (132), Pulau Pinang (124) dan 121 kes di Kelantan.


“Baki negeri lain pula mencatatkan dua angka iaitu Terengganu, 81 kes, Pahang (52), Putrajaya (23) manakala Perlis, tiga kes dan Labuan, satu kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.


Sabtu lalu, Malaysia pertama kali merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 4,029 kes baharu jangkitan sepanjang pandemik itu melanda negara.


"Sebanyak 2,374 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 adalah sebanyak 127,662 kes atau 75.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.


Dr Noor Hisham juga berkata terdapat 246 kes positif COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 96 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.


Selain itu, 11 kematian akibat COVID-19 dilapor hari ini melibatkan sembilan warganegara dan dua bukan warganegara, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian dalam negara sebanyak 630 kes.


Kes kematian itu melibatkan empat mangsa di Selangor dan masing-masing tiga kes di Sabah dan Johor dan satu kes di Sarawak yang menyaksikan kesemua mangsa berumur lingkungan 42 hingga 90 tahun dengan latar belakang berpenyakit.


Sementara itu, 16 lagi tambahan kluster dikesan hari ini dengan 11 daripadanya melibatkan tempat kerja dan selebihnya kluster komuniti menjadikan kluster aktif setakat ini ialah 318 kluster.


Kluster yang melibatkan tempat kerja ialah Kluster Bestari Rantau di Selangor, Kluster Jalan KKIP Selatan di Sabah, Kluster Tapak Bina Abdul Aziz (Selangor), Kluster Tapak Bina Jalan Digital (Johor, Terengganu), Kluster Tampoi Lima dan Kluster Jalan Seroja di Johor.


Turut dikesan Kluster Persiaran Tasek di Perak, Kluster Jalan Usaha (Melaka), Kluster Sungai Ibor (Negeri Sembilan), Kluster Tapak Bina Sebukor (Melaka) dan Kluster Jalan Sejahtera di Kuala Lumpur.


Dalam pada itu, kluster yang melibatkan komuniti ialah Kluster Batu Enam di Perak, Kluster Bukit Gelugor di Pahang, Kluster Jalan Niaga di Johor, Kluster Kampung Balibata di Sabah dan Kluster Sawmill Luit di Pahang. - Bernama