- Wartawan Nabalu News
COVID-19: 53 KES BAHARU, MENURUN 23 KES BERBANDING SEMALAM

14 Mei 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini ialah sebanyak 53 kes menurun 23 kes berbanding semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,202.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, dua kematian turut dilaporkan masing-masing di Kota Kinabalu dan Lahad Datu.
"Daripada 53 kes, sebanyak 25 kes adalah berpunca daripada saringan kontak rapat, manakala sebanyak 17 kes berpunca dari kluster sedia ada, lima kes dari saringan bergejala dan enam kes dari lain-lain kategori.
“Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 15 kes, diikuti Kalabakan (12 kes), Tawau (sembilan kes), Penampang (enam kes), Kinabatangan dan Putatan masing-masing tiga kes, Lahad Datu dan Tuaran masing-masing dua kes, serta satu kes dicatatkan di Papar.
“Daerah-daerah lain tidak mencatatkan kes baharu pada hari ini, manakala daerah Telupid, Tongod, Kudat, Pitas, Kuala Penyu, Tenom, Nabawan dan Tambunan kekal di zon hijau,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, seramai 99 pesakit telah sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 58,607 orang.
"Seramai 572 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 234 orang di hospital dan 293 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 37 orang dan 20 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.