• Wartawan Nabalu News

COVID-19: 533 KES BAHARU, LAPAN KEMATIAN, EMPAT KLUSTER BAHARU DI SABAH


25 OKTOBER 2020

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 533 kes baharu, lapan kes kematian dan empat kluster baharu pada hari ini.

Empat kluster baharu dikenalpasti di Sabah masing-masing melibatkan daerah Keningau, Sandakan, Kota Kinabalu dan Semporna.


Kluster Titir melibatkan Keningau telah menjangkiti 23 orang; Kluster Jambul melibatkan Sandakan (lapan kes), Kluster Bandaran di Kota Kinabalu sebanyak 12 kes dan Kluster Omadal sebanyak 21 kes di daerah Semporna.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 11,818 kes.

“Sehingga hari ini, seramai 5,195 pesakit dilaporkan sembuh. Manakala, 6,525 pesakit sedang menerima rawatan dalam wad di seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.

Masidi berkata, daripada jumlah keseluruhan kes baharu di Sabah pada hari ini, daerah Sandakan dan Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi iaitu masing-masing 167 dan 162 kes.

“Daerah Kota Kinabalu mencatat 162 kes. Daripada jumlah ini, 67 kes adalah dari Kluster Penjara Kepayan. Manakala 10 kes daripada saringan bergejala, enam daripada saringan kendiri, 71 kes daripada saringan kontak rapat, tiga kes daripada saringan sebelum masuk wad dan dua kes daripada saringan sebelum bekerja,” katanya.

Katanya lagi, Sandakan juga mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 167 kes pada hari ini dan daripada jumlah itu, 53 kes adalah dari kluster baharu dan kluster sedia ada.

“Manakala 96 kes adalah daripada saringan kontak rapat, empat kes daripada saringan pekerjaan, empat kes saringan komuniti, satu kes saringan terhadap kes brought in dead (BID) dan Sembilan kes adalah daripada saringan bergejala,” katanya.

Daerah ketiga mencatatkan kes tertinggi pada hari ini ialah Tawau dengan 75 kes baharu, Tuaran (29 kes), Kudat (22 kes), Semporna (14 kes), Keningau (14 kes), Papar (12 kes), Putatan (sembilan kes), Lahad Datu, Kunak dan Kota Marudu masing-masing enam kes, Penampang dan Beaufort masing-masing tiga kes, Kota Belud (dua kes) dan Tambunan (dua kes) dan Tenom hanya mencatatkan satu kes baharu.