• Wartawan Nabalu News

COVID-19 : 643 KES BAHARU DI SABAH, 865 KES SELURUH MALAYSIA


19 OKTOBER 2020


BY WARTAWAN NABALU NEWS


KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 643 kes atau 74.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 865 kes baharu yang dilaporkan di seluruh negara hari ini.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana lebih banyak ujian makmal telah dapat dijalankan di Sabah dan yang dihantar ke Semenanjung Malaysia.


Ketika memperincikan kes penularan Covid-19 di Sabah, beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan kes baharu itu, 183 kes adalah daripada kluster-kluster sedia ada; 343 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan 117 kes daripada lain-lain saringan.


“Secara keseluruhanya, sebanyak 154 kes atau 17.8 peratus pada hari ini adalah daripada Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai Kluster Tembok dan termasuk empat kes saringan tahanan Penjara Tapah.

“Daripada 865 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan tiga warganegara dan empat bukan warganegara,” katanya pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.


Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 21,363 kes.


“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 7,456 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.