COVID-19: 822 KES BAHARU, 769 PULIH, DUA KEMATIAN HARI INI - KP KESIHATAN
- nabalunews
- Nov 11, 2020
- 1 min read

11 Nov 2020
KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 822 kes baharu COVID-19 dan dua kematian dalam tempoh 24 jam lalu, sekali gus mencatatkan jumlah kumulatif sebanyak 42,872 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu, sebanyak 769 kes pulih turut direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 31,073 kes atau 72.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Mengenai pecahan kes tempatan hari ini, katanya, Sabah terus mencatatkan jumlah tertinggi dengan 258 kes diikuti Negeri Sembilan (225), Selangor (176), Labuan (46), Pulau Pinang (26), Kuala Lumpur (17), Kedah (17) dan masing-masing 14 kes di Sarawak dan Perak.
Selain itu, Johor mencatatkan 10, Melaka (6), Putrajaya (3), Perlis (2) dan satu kes di Kelantan.
Beliau berkata daripada jumlah kes baharu ini tujuh merupakan kes import melibatkan seorang warganegara dan enam bukan warganegara yang masing-masing pulang dari India, Kanada, Indonesia, Arab Saudi, Afganistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Rusia.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pertambahan dua kematian berkaitan COVID-19 direkodkan di Sabah melibatkan wanita bukan warganegara, menjadikan jumlah kumulatif kematian 302 kes iaitu 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Kematian ke-301 adalah individu berusia 22 tahun dengan latar belakang penyakit jantung dan reumatik manakala kematian ke-302 adalah individu berusia 67 tahun dengan penyakit osteoathritis dan gastritis,” katanya.
Beliau berkata, pada masa ini terdapat 86 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 30 memerlukan bantuan pernafasan. - Bernama
Comments