• Wartawan Nabalu News

Covid-19 di Sabah menurun kepada 596 kes



18 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah, hari ini sebanyak 596 kes menjadikan jumlah kumulatif 363,149 kes dan tiada kes kematian dilaporkan.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, setelah dua hari merekodkan pertambahan kes harian, Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 173 kes hari ini.


Beliau berkata, kes-kes jangkitan baharu menurun di 21 daerah, kecuali Penampang yang menambah empat kes berbanding semalam.


“Daerah lain seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Beaufort dan Putatan merekodkan penyusutan kes-kes baharu. Lima daerah mencatatkan peningkatan kes baharu tetapi pada skala yang kecil dan satu daerah kekal sebagaimana catatan semalam. Semporna dan Kunak tidak mencatatkan sebarang kes baharu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, peratusan jangkitan sporadik kekal tinggi iaitu 66 peratus pada hari ini.


Beliau berkata, secara keseluruhannya 581 atau 97.48 peratus daripada 596 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, lima kes dalam Kategori 3 dan 10 kes dalam Kategori 4. Tidak ada kes baharu direkodkan dalam Kategori 5 hari ini.


Katanya lagi, dua kluster diisytiharkan tamat hari ini, iaitu Kluster Jalan Apas Batu Lima di Tawau dan Kluster Loboh Nabawan di Nabawan.


“Setakat hari ini baki kluster yang masih aktif di Sabah ialah 19 kluster,” katanya.


Dari segi bilangan pesakit Covid-19 sembuh, seramai 972 orang sembuh termasuk termasuk yang discaj dari hospital/PKRC menjadikan jumlah kumulatif 335,788 orang.


“Manakala 695 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 538 orang di hospital, 155 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, lima orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara dan dua orang di fasiliti swasta.


“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 38 orang merangkumi 37 di ICU/repurposed kritikal care serta satu di open ward (HDW/kubikel akut) dan 21 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.