• Wartawan Nabalu News

COVID-19: DUA DAERAH DI SABAH KINI DIISYTIHAR ZON HIJAU



14 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua daerah di Sabah kini diisytihar sebagai zon hijau selepas kesemua pesakit Covid-19 di daerah itu sembuh dan tiada pertambahan kes baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daerah itu ialah Tenom dan Nabawan.

Katanya lagi, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pada hari ini, jumlah kes positif baharu Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 391 kes.

“Daerah yang mencatatkan jumlah kes tertinggi di Sabah ialah Kota Kinabalu dengan 122 kes baharu diikuti Sandakan (63 kes), Tawau (51 kes), Semporna (48 kes), Tuaran (32 kes), Kudat (23 kes), Penampang (15 kes) dan Keningau (11 kes).

“Daerah Putatan mencatatkan lapan kes, Papar (lima kes), Lahad Datu dan Sipitang masing-masing empat kes, Kota Belud (tiga kes), Beluran dan Pitas masing-masing satu kes.

“Manakala daerah Kota Marudu, Tambunan, Tongod, Kuala Penyu, Beaufort, Telupid, Ranau, Kinabatangan, Tenom dan Nabawan tidak mencatatkan kes pertambahan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.

Masidi berkata, daripada 391 kes positif Covid-19 hari ini, sebanyak 136 kes (34.78 peratus) adalah dari Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan yang berpunca dari saringan kontak rapat. Selebihnya iaitu 255 kes adalah dari lain-lain kategori.

Katanya lagi, hari ini seramai 358 pesakit Covid-19 di negeri ini dilaporkan sembuh, manakala 2,475 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 678 orang di hospital dan 1,797 orang di PKRC.

“Bilangan pesakit Covid-19 dalam unit rawatan rapi (ICU) ialah seramai 65 orang dan 23 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini di Kota Kinabalu.