• nabalunews

COVID-19: DUA KLUSTER BAHARU DIKENAL PASTI HARI INI - KP KESIHATAN


3 NOV 2020

PUTRAJAYA: Dua kluster baharu COVID-19 dikenal pasti hari ini, masing-masing di Negeri Sembilan dan Kedah serta Pulau Pinang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster pertama iaitu Kluster Cergas di Seremban, Negeri Sembilan terdapat 12 kes positif COVID-19, manakala 126 individu dikesan negatif dan enam lagi masih menunggu keputusan.

“Kesemua mereka adalah daripada sejumlah 144 individu yang telah disaring, setakat 12 tengah hari ini.

“Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 29 Okt lepas dan saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 11 lagi kes positif COVID-19,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di KKM di sini hari ini.

Katanya, kesemua individu positif COVID-19 tersebut telah dimasukkan ke Hospital Rembau, Hospital Tampin dan Hospital Tuanku Ja’afar.

Beliau berkata satu lagi kluster iaitu Kluster Permatang pula dikesan di Kulim, Kedah serta di Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Timur Laut, Pulau Pinang.

“Kes indeks bagi kluster ini adalah kes Jangkitan Respiratori Akut Teruk (SARI) di sebuah pusat perubatan swasta dan telah dikenal pasti positif COVID-19 pada 31 Okt 2020.

“Kes indeks kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang dan saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak tujuh lagi kes positif COVID-19, yang mana kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sejumlah 97 individu telah disaring daripada kluster itu setakat 12 tengah hari tadi.

Katanya, daripada jumlah itu, lapan individu dikenal pasti positif COVID-19, 74 kes pula dikesan negatif manakala 15 individu lagi masih menunggu keputusan. – Bernama