• Wartawan Nabalu News

COVID-19: DUA KLUSTER BAHARU DIKESAN DI LAHAD DATU



24 Jan 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua lagi kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini, melibatkan daerah Lahad Datu, dikenali sebagai Kluster Ladang Segama dan Kluster Jalan Segama.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Ladang Segama mencatatkan 16 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 22 kes.


“Kes indeks dikesan melalui saringan tempat kerja di bawah program PERKESO pada 16 Januari.


“Kontak-kontak rapat telah dikenalpasti dan pengesanan punca jangkitan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, kes indeks bagi Kluster Jalan Segama pula dikesan melalui saringan bergejala pada 19 Januari lalu.


“Sebanyak tujuh kes baharu dikesan dalam kluster ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 20 kes.


Beliau berkata, susulan penemuan kes itu, saringan kontak rapat masih dilaksanakan dalam kalangan warga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Lahad Datu.