• Wartawan Nabalu News

COVID-19: DUA KLUSTER BAHARU DIKESAN DI PENAMPANG, TAWAU



5 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu dikesan di Sabah hari ini masing-masing melibatkan Penampang dan Tawau.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kedua-dua kluster baharu itu berkaitan majlis penghormatan terakhir atau pengkebumian dan pekerja sebuah kilang memproses makanan laut.

Beluau berkata, Kluster Jalan Domis di Penampang membabitkan dua kes hari ini dengan jumlah kumulatif sebanyak 12 kes. Kluster ini berkaitan dengan majlis penghormatan terakhir dan pengebumian.


“Manakala Kluster Batu Tiga di Tawau pula sebanyak satu kes hari ini menjadikan kumulatif 28 kes. Kluster ini berkaitan dengan kontak rapat rakan sekerja di sebuah kilang memproses makanan laut,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Kes indeks bagi Kluster Jalan Domis dilaporkan positif Covid-19 pada 29 November lalu hasil saringan kontak rapat.


Sehingga hari ini, sejumlah 132 individu telah disaring, di mana 12 kes dikesan positif dalam kluster ini.


Kes indeks bagi Kluster Batu Tiga Tawau pula dilaporkan positif Covid-19 pada 17 November lalu hasil saringan individu bergejala. Sehingga hari ini seramai 28 individu disaring di mana kesemuanya dikesan positif Covid-19.


Masidi berkata, daripada 391 kes positif Covid-19 hari ini, sebanyak 189 kes (48.34 peratus) adalah berpunca dari saringan kontak rapat di 15 daerah, 104 kes (26.60 peratus) daripada saringan kluster baharu dan sedia ada, saringan bergejala (35 kes), saringan komuniti (40 kes) dan 23 kes adalah dari lain-lain kategori.