• nabalunews

COVID-19: EMPAT KLUSTER BAHARU DIKESAN




5 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Empat lagi kluster baharu COVID-19 dikesan di negara ini melibatkan dua kawasan di Sabah dan masing-masing satu di Kuala Lumpur serta Selangor.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama iaitu Kluster Batu Tiga melibatkan daerah Tawau di Sabah dengan kes awal positif COVID-19 dilaporkan pada 17 Nov hasil saringan individu bergejala.


“Sehingga hari ini, sejumlah 28 individu telah disaring dan kesemuanya telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.


Dr Noor Hisham berkata kluster kedua pula ialah Kluster Jalan Domis melibatkan daerah Penampang, Kota Kinabalu dan Tongod di Sabah dengan kes awal positif COVID-19 dilaporkan pada 29 Nov hasil saringan kontak rapat.


Beliau berkata daripada 132 individu yang disaring, 12 telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster tersebut setakat hari ini.


Dr Noor Hisham berkata kluster ketiga pula, Kluster Andalas melibatkan daerah Klang di Selangor dengan kes awal positif COVID-19 dilaporkan pada 3 Dis hasil saringan individu bergejala.


“Sehingga hari ini, sejumlah 43 individu telah disaring, 16 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.


Bagi kluster keempat, Tapak Bina Bulatan, melibatkan daerah Cheras, Titiwangsa dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kes awal positif COVID-19 dilaporkan pada 5 Dis hasil saringan sebelum ke luar negara.


Sebanyak 163 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster tersebut daripada 319 individu yang disaring, katanya. – Bernama