- nabalunews
COVID-19 HUBUNGKAN LEBIH RAMAI MANUSIA, TERDEDAH ANCAMAN SIBER

23 Nov 2020
PUTRAJAYA: Pandemik COVID-19 membuat lebih ramai manusia dihubungkan secara digital serta bergantung kepada teknologi itu dan seterusnya lebih mendedahkan mereka kepada risiko serangan siber, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beliau berkata perkhidmatan digital seperti pusat data, sistem pengkomputeran awan dan pelayan yang digunakan oleh kakitangan untuk berkomunikasi telah menjadi sangat penting tetapi boleh menimbulkan ancaman di ruang siber kerana terdedah kepada pelaku jenayah yang berusaha mengeksploitasinya.
"Internet sama yang menjadi medium untuk kita bekerja dan berinteraksi sosial telah mengalami peningkatan risiko. Internet sememangnya boleh menjadi seumpama pedang bermata dua," kata Zahidi dalam ucapannya di Persidangan Tahunan ke-12 2020 Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer-Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC-CERT) yang dijalankan secara maya hari ini.
Katanya, statistik insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh CyberSecurity Malaysia dari Januari hingga Oktober tahun ini mencatatkan 9,042 insiden dengan 6,459 atau 71 peratus melibatkan kes penipuan.
“Kes penipuan ini melibatkan percubaan kejuruteraan sosial, ia diikuti oleh pencerobohan yang mencatatkan 1,101 insiden (12 peratus) dan kod jahat dengan 502 laporan kejadian (5.5 peratus),” katanya.
Insiden lain yang dilaporkan adalah cubaan pencerobohan, spam, menafikan perkhidmatan, laporan rentan, gangguan siber, dan ancaman berkaitan dengan kandungan, katanya.
Dalam perkembangan lain, Zahidi berkata OIC-CERT sebagai pasukan tindak balas kecemasan komputer serantau berada di landasan yang tepat untuk mengurangkan ancaman siber di rantau ini.
Pasukan itu mengamalkan enam tonggak strategik iaitu struktur organisasi, kerjasama antarabangsa, standard dan peraturan, teknikal dan teknologi, peningkatan kapasiti dan kesedaran.
"Saya percaya bahawa enam tonggak holistik ini akan sangat membantu komuniti OIC-CERT pada tahun-tahun akan datang dengan mengembangkan kemampuan mereka menghadapi ancaman siber dan bersedia untuk menghadapi pencabar semasa dan masa depan," katanya.
Menurut Statistik Dunia Internet 2020, anggaran jumlah pengguna internet di negara-negara OIC berjumlah kira-kira satu bilion, iaitu sekitar 20 peratus daripada 4.9 bilion pengguna internet dunia, katanya.
Oleh itu, beliau berkata menjadi anggota OIC-CERT akan memberi akses ke rangkaian global yang mempromosikan kerjasama strategik dan usaha baharu bersama-sama komuniti CERT di seluruh dunia.
"Keahlian (OIC-CERT) juga akan memberi peluang untuk mereka berkongsi sumber dan maklumat. Sebagai contoh, ia akan menyediakan platform untuk berkongsi sumber dalam penyelidikan dan pembangunan dalam bidang keselamatan siber.
"OIC-CERT juga akan menawarkan bantuan kepakaran teknikal dan nasihat dasar kepada ahli yang ingin mewujudkan pasukan CERT," katanya.
Persidangan dua hari itu yang bertemakan ‘Strategi dan Amalan Keselamatan Siber Semasa Krisis COVID-19’ itu dianjurkan secara maya oleh CyberSecurity Malaysia sebagai Sekretariat Tetap OIC-CERT. – Bernama