• Wartawan Nabalu News

COVID-19: JUMLAH HAD PELANGGAN SETIAP MEJA DI SABAH MASIH KEKAL: MASIDI



11 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) (dine-in) di restoran dan kedai makan dengan jumlah had pelanggan yang sedang berkuat kuasa ketika ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, SOP itu ialah size meja dua orang bagi meja empat orang; tiga orang bagi meja enam orang; dan empat orang bagi meja lapan orang dan seterusnya dengan penjarakan fizikal 1 meter dan pematuhan SOP sektor makanan.


Mengenai had jumlah pelanggan pada setiap meja makan seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan Datuk Ismail Sabri Yaakob pada Rabu di mana pelanggan yang datang dari keluarga sama dibenarkan duduk semeja mengikut kapasiti asal meja, Masidi berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Covid-19 Negeri Sabah pada hari ini.


“Mesyuarat telah memutuskan bahawa Sabah masih menggunapakai SOP PKPB yang sedang berkuatkuasa sehingga 20 Disember,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Ketika ditanya faktor yang membawa kepada saringan besar-besaran di Pusat Tahanan Semenara (PTS) Menggatal kelmarin, Masidi berkata, kes-kes yang dilaporkan positif di PTS Menggatal pada kelmarin (10 Disember) merupakan pengesanan daripada pemantauan berterusan ke atas tahanan-tahanan.


“Beberapa orang tahanan mula menunjukkan simptom dan didapati positif Covid-19 setelah ujian pengesahan dilakukan.


“Melalui siasatan yang dijalankan, jangkitan yang berlaku bukan jangkitan baru. Mereka ini dikesan negatif melalui saringan pertama yang dilakukan kerana pada masa itu mereka ini berkemungkinan berada di dalam fasa jangkitan yang awal dan bilangan virus (viral load) di dalam tubuh adalah rendah,” katanya.


Beliau berkata setakat ini seramai 1,702 orang tahanan telah disaring dengan menggunakan kaedah rt-PCR.