Covid-19: Jumlah kes baharu di Sabah meningkat 1,078 kes, 22 kematian
- Wartawan Nabalu News
- Sep 26, 2021
- 1 min read

26 Sept 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini meningkat 116 kes iaitu 1,078 kes berbanding kelmarin menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 194,264 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap Covid-19 berkata, sebanyak 22 kes kematian turut dilaporkan hari ini.
“Daripada jumlah kes kematian tersebut, 10 kes di Sandakan, tiga kes di Tawau, dua kes di Kudat dan Kota Marudu manakala masing-masing satu kes di Lahad Datu, Keningau, Nabawan, Penampang dan Kota Kinabalu.
"Secara keseluruhan, perubahan trend jangkitan harian ini ekoran daripada peningkatan kes di 14 daerah termasuklah kawasan bandar utama seperti Lahad Datu yang merekodkan kes tertinggi sebanyak 131 kes (+58 kes) berbanding kelmarin, Kota Kinabalu sebanyak 123 kes (+32 kes), Sandakan sebanyak 81 kes (+16 kes) dan Penampang sebanyak 64 kes (+16 kes),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut Masidi, saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang utama bagi keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 611 kes manakala saringan bergejala mempunyai 306 kes, saringan kluster sebanyak 36 kes, dan 125 kes melalui saringan lain-lain.
Bagi bilangan pesakit sembuh termasuk yang discaj dari hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) ialah sebanyak 2,394 orang, menjadikan jumlah kumulatif 173,450 orang.
"Seramai 3,493 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,286 orang di hospital, 2,161 orang di PKRC Awam, 37 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala Sembilan orang di fasiliti swasta.
"Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 151 orang merangkumi 135 di ICU serta 16 di open ward (HDW/kubikel akut) dan 55 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Tiada Kluster Covid-19 baharu direkodkan di Sabah hari ini.
Комментарии