• Wartawan Nabalu News

COVID-19: JUMLAH KUMULATIF KES DI SABAH KINI MELEBIHI 40,000



10 JAN 2021


Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 403 kes positif baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 40,666 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, satu kematian turut direkodkan di Kota Kinabalu dan satu kluster baharu di Sandakan iaitu Kluster Jalan Sibuga.


Beliau berkata, daripada 403 kes positif Covid-19, sebanyak 263 kes (65.3 peratus) berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 70 kes (17.4 peratus), saringan rentas negeri 17 kes (4.2 peratus), saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 22 kes (5.5 peratus), dan 31 kes adalah dari lain-lain kategori.


“Daerah Kota Kinabalu mencatatkan 61 kes, diikuti Lahad Datuk sebanyak 51 kes, Sandakan (42 kes), Keningau (35 kes), Penampang (34 kes), Tawau (33 kes), Tuaran dan Sipitang masing-masing 17 kes, Kudat (15 kes), Kinabatangan (14 kes), Tambunan (13 kes), Putatan dan Papar masing-masing 11 kes.


“Kalabakan mencatatkan Sembilan kes, Pitas (lapan kes), Beaufort (tujuh kes), Kunak (enam kes), Tenom dan Kota Belud masing-masing lima kes, Semporna (tiga kes), Beluran dan Kota Marudu masing-masing dua kes, Ranau dan Tongod masing-masing satu kes.


“Hanya tiga daerah di Sabah tidak mencatatkan kes baharu hari ini iaitu Kuala Penyu, Nabawan dan Telupid,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, hari ini seramai 236 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 37,021 orang. Sejumlah 2,653 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 673 orang di hospital dan 1980 orang di PKRC.


“Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 67 orang dan 14 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.


Beliau berkata, kluster baharu iaitu Kluster Jalan Sibuga mencatatkan empat kes menjadikan jumlah kumulatif sembilan kes.


“Kluster ini dikesan melalui saringan bergejala dan saringan kontak rapat di Rumah Warga Tua Sri Harapan,” katanya.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com