• nabalunews

COVID-19: KADAR JANGKITAN SEKITAR 0.95-1.05 DALAM TEMPOH DUA MINGGU LAGI


9 DIS 2020


PUTRAJAYA: Kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) di Malaysia bagi pandemik COVID-19 dijangka berada pada tahap 0.95 hingga 1.05 dalam tempoh dua minggu lagi berbanding 0.96 yang dicatatkan hari ini.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata untuk tempoh itu juga, jumlah kes harian yang dijangka dicatatkan ialah kira-kira 845 hingga 1,700 jika tiada peningkatan dari segi kadar jangkitan.


"Kita akan pantau dalam tempoh dua minggu ini untuk melihat perkembangan kes harian. Kalau kes lebih kurang sebagaimana yang kita jangkakan, kita boleh hidupkan ekonomi kita, tapi kalau kes bertambah kita akan fikir dan gunakan strategi yang lain.


"Kebimbangan kita adalah kalau Rt meningkat kepada 1.5, jangkaan kes harian adalah lebih kurang 6,500 manakala jika Rt meningkat kepada 2.2 seperti permulaan gelombang ketiga, mungkin kes akan mencecah lima angka," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.


Beliau berkata walaupun kerajaan memberikan kelonggaran untuk merentas negeri dan daerah, semua pihak dinasihatkan agar tidak terdedah dengan kes positif bagi mengelak dijangkiti virus itu dengan mengamalkan syor yang telah diberikan Kementerian Kesihatan (KKM).


Dr Noor Hisham berkata KKM telah mengenal pasti Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di beberapa negeri seperti di kawasan Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sebagai persediaan menghadapi pertambahan kes positif daripada Kategori 1 dan 2 iaitu pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan berikutan perluasan saringan ke atas pekerja khususnya pekerja asing di kilang serta tapak binaan.


"Sekiranya ada pertambahan kes positif di kategori 1 dan 2, kita akan tempatkan di PKRC manakala kategori 3, 4, dan 5 pula kita percaya hospital-hospital kita masih boleh menampung jumlah pesakit," katanya.


Mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mendakwa vaksin dari China tidak berkesan untuk merawat COVID-19, beliau berkata perkara itu adalah tidak benar.


Dr Noor Hisham berkata ini kerana China adalah antara negara yang berpengalaman mengeluarkan vaksin termasuk bagi merawat penyakit berjangkit sebelum ini seperti Influenza, Polio dan Hepatitis A.


Katanya perbezaan vaksin yang dikeluarkan kali ini menyaksikan ia perlu menjalani beberapa tahap ujian klinikal bagi mengenal pasti keberkesanan dan kesan sampingan.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat 12 vaksin yang sedang dikaji dan telah melalui beberapa ujian klinikal.


"Kita masih memantau vaksin tersebut dan kita masih menunggu kalau ada penyerahan kepada KKM dan kita akan lihat kepada keberkesanan dan kesan sampingan vaksin tersebut," katanya. – Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com